Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (empat kiri) dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga kanan) selepas pergulungan dan penanguhan Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat di Stadium Melawati, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 18 MAC 2023.

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanya kepada pemimpin Pas, kezaliman apa yang dilakukannya hanya kerana mahu membersihkan negara dari perasuah?

Presiden PKR itu menegaskan, adakah kerana beliau mahu menghentikan amalan rasuah yang dilakukan pemimpin terdahulu daripada terus merosakan negara dianggap zalim.

“Zalim apa? Kamu tahukah apa kes ini? Kamu bacakah pertuduhan dia? Kamu nak pertahankan orang atau parti yang ambil RM200 juta, RM300 juta daripada syarikat-syarikat atau pun daripada keputusan kerajaan dan habuan itu dipindahkan kepada parti?

“Itu pun nak dipertahankan? Islam apa begini? Saya tidak mengerti. Bagaimana kita boleh perkatakan kita pertahankan idealisme kemudian kata (mendakwa) sebagai Melayu tulen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan Kongres Nasional Khas Keadilan 2023 di Stadium Malawati di sini petang ini.

Tegas Anwar, beliau selalu menekankan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan badan kehakiman agar harus kembali bebas sebagai institusi yang ada integriti.

“Saya tegaskan kepada institusi ini, jangan melindungi perasuah kerana negara sudah rosak. Rakyat sepatutnya mendapat pembelaan dan negara boleh dipacu dengan hebat tetapi kerana penyakit ini (rasuah) menyebabkan semua menjadi rosak.

“Kadang-kadang dalam perbincangan dengan pihak berkuasa, saya tidak tahu di mana nak mulakan sebab dalam setiap fail, ada masalah,” katanya yang juga Perdana Menteri.

Beliau juga kadangkala merasa bingung, mengapa hal itu tidak boleh dihukum oleh orang yang betul-betul bersemangat Islam atau Melayu atau cintakan negara.

“Arahan saya kekal sampai sekarang, SPRM mesti tegas bertindak kepada sesiapa sahaja yang didapati memperoleh kekayaan secara rasuah dan saya ucapkan terima kasih atas ketegasan mereka.

“Tetapi ada pula yang menyoal, kenapa tidak dahulu (dakwa)? Saya kata, kerana dulu ketuanya tidak pernah memberi arahan begitu rupa, sekarang saya ketua, saya mengarahkan badan ini bertindak secara bebas, berani dan telus.

“Saya kata, sesiapa sahaja yang sakau (duit rakyat), tangkap dan penjarakan,” katanya.

Namun, kata Anwar, kerja pendakwaan itu adalah Peguam Negara dan beliau tidak tahu apakah kes untuk pendakwaan sedangkan bagi pemenjaraan pula ia tugas badan kehakiman.

“Dalam kes ketika ini (dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin), saya tidak tahu apa keputusan hakim tetapi saya tidak melindungi, mengapa ketua parti Islam boleh mempertahankan pengkhianatan dan kezaliman ini,” katanya.

Berhubung ada rungutan ahli PKR yang merasakan mereka tersisih selepas parti menjadi kerajaan, Anwar menegaskan, parti itu tidak boleh terlepas daripada rangkaian dan rantaian sejarah perjuangan yang sukar dan getir.

Katanya, sebaik ahli menjadi ketua cabang atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) apalagi menteri, jangan lupa dasar dan cita-cita PKR berbeza daripada parti lain.

“Apa yang dibicarakan oleh pimpinan tadi bukan untuk menolak kenyataan bahawa semua harus diberikan sedikit keselesaan tapi kena tahu, pokok atau paksi perjuangan kita ialah membetulkan keadaan yang sudah bobrok dan rosak.

“Apabila kita ambil alih, saya bukan bermaksud untuk menidakkan atau mengatakan semua yang dilakukan kerajaan terdahulu itu rosak, tidak.

“Ada juga cadangan yang baik, ada juga tokoh yang bersih dan baik tetapi sistem itu rosak dan kerugian serta ketirisan itu terlalu banyak, bukan sahaja melibatkan skandal 1MDB, banyak kes lain berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette