SHAH ALAM – Walaupun kerajaan telah meluluskan Undi-18 tahun lalu tetapi pelaksanaannya dibuat tanpa persediaan rapi, kata pembahas AMK, Dr. Taufiq Johari.
Beliau berkata, Undi-18 di negara ini jauh berbeza dengan undi anak muda di Indonesia yang mana negara itu melibatkan golongan berkenaan secara terus dengan politik dan demokrasi.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya di Malaysia masih perlahan dan kerajaan sekarang yang diterajui Pakatan Harapan (PH) perlu memainkan tanggungjawabnya untuk memberi kefahaman kepada anak muda.
“Siapakah yang bertanggungjawab untuk mengangkat suara anak muda ini dengan lebih berkualiti? Ini adalah tanggungjawab kerajaan sekarang. Kerajaan Madani.
“Kerajaan sekarang perlu melibatkan anak muda ini dengan sekolah demokrasi supaya mereka lebih faham dan cakna mengenai politik dan kebenaran yang sebenar.
“Sekarang ini, kita laksanakan Undi-18 tetapi kita tidak berjaya untuk melibatkan rohani mereka dengan begitu jitu,” katanya dalam sesi perbahasan di Kongres Nasional Khas Keadilan 2023 di sini hari ini.
Taufiq yang mewakili Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut meminta jentera parti memastikan ketika anak muda masuk ke dewan mengundi bukan sahaja memangkah nama calon sebaliknya memikirkan masa depan negara.
Sebab itu, katanya, PKR dan PH yang sekarang di tampuk kepimpinan perlu memartabatkan lagi institusi dan jabatan agar dapat menyantuni anak muda.
“Saya dari Kedah, tidak lama lagi negeri ini akan menghadapi PRN dan berharap anak muda menjadikan keputusan PRU15 yang lalu sebagai hikmah untuk tidak mengulangi perkara itu di peringkat negeri.
“Dalam PRU15 lalu, tidak ada mana-mana parti politik yang menang majoriti. Untuk membentuk kerajaan terpaksa melalui gabungan dengan parti politik lain seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kita mahu anak muda melihat gabungan ini akan membawa Malaysia ke sebuah negara yang lebih matang,” katanya.
Namun beliau mengakui anak muda sudah melihat kerajaan sekarang telah melakukan hal yang terbaik dan melaksanakan segala perkara yang mampu mengeluarkan rakyat dari kemiskinan.
“Ya, kita berbangga. Ya, kita berseronok. Kalau dulu, ini (PKR-PH) adalah parti derita kini mungkin ini adalah parti gembira tetapi jangan kita alpa dan leka serta jangan kita lena.
“Perjalanan kita masih jauh walaupun sudah menjadi kerajaan pusat. Kita harus ingat masih ada beberapa negeri yang akan menghadapi PRN,” katanya. – MalaysiaGazette