RANTAU PANJANG – Datuk Dr. Ibrahim Ali bersedia memberi laluan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden Putra sekiranya mendapat pencalonan dan mandat pimpinan parti.
Presiden Putra itu berkata, rata-rata pimpinan peringkat akar umbi di seluruh negara mahu mencalonkan Dr. Mahathir sebagai presiden parti itu bagi sesi 2023-2026 pada Perhimpunan Agung Tahunan Putra yang akan diadakan 7 Mei ini.
“Insya-Allah, saya bersedia untuk turun satu tangga sebagai Timbalan Presiden dan Tan Sri Khalid Yunus yang kini timbalan juga sanggup turun satu tangga ke jawatan Naib Presiden I.
“Sejak Dr. Mahathir menyertai Putra bulan lalu, parti ini menerima pertambahan ahli baharu sekitar 100 hingga 200 orang setiap hari di seluruh negara.
“Ini satu perkembangan yang baik dan membanggakan, yang menunjukkan Putra dalam proses kebangkitan sebagai parti pilihan baharu orang Melayu dan bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Putra Bahagian Rantau Panjang di Dewan Adijagat Lubok Jong, dekat sini, petang semalam.
Dalam persidangan itu, 102 perwakilan memilih Che Mohd Asemari Che Ali sebagai Ketua Putra Bahagian Rantau Panjang bagi sesi 2023-2026, manakala Timbalannya, Datuk Burhanudin Roslan dan Naib Ketua, Ramli Mamat.
Seramai 15 Ahli Jawatankuasa turut dipilih yang menampilkan penglibatan anak muda, ahli perniagaan, petani dan golongan profesional.
Menurut Ibrahim, gelombang itu sekali gus memperlihatkan orang Melayu dan bumiputera meletakkan kepercayaan kepada Putra untuk menggalas kesinambungan perjuangan nasionalisma Melayu Islam.
Katanya, perjuangan itu selama ini gagal diterjemahkan oleh parti terdahulu kerana kebanyakannya terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa dan maksiat.
“Putra kini mula mendapat perhatian rakyat sebagai parti yang bersih, bermoral dan benar-benar berintegriti.
“Ini menunjukkan rakyat makin sedar, tetapi pada masa sama mereka juga terpalit dengan gula-gula RM200 hingga RM300 oleh parti tertentu setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.
Ibrahim berkata, itu antara sebab kenapa Dr. Mahathir memilih Putra.
“Kerana roh perjuangan Putra senada dengan perjuangannya. Bahkan, pimpinan Putra juga bersedia melakukan apa saja demi perjuangan Melayu bumiputera yang kini semakin cemas dengan pelbagai cabaran,” kata beliau. – MalaysiaGazette