SEBELUM meneruskan baca walaupun saya tahu lebih ramai yang membaca tajuk sahaja dan terus komen ingin saya jelaskan beberapa perkara.
Pertama, saya bukan anggota mana-mana parti politik agama, bahkan mereka yang kenal saya tahu saya mantan calon pilihan raya dari satu parti politik yang cukup ditentang parti-parti berasaskan agama.
Kedua, saya juga setuju larangan menjadikan masjid sebagai tempat berkempen politik
kepartian tertentu. Bahkan terdapat tegahan keras dari Nabi Muhammad S.A.W untuk tidak jadikan masjid sebagai tempat iklan perniagaan pun walaupun itu tidak dibanteras bila ramai pengkuliah promosi produk mahupun pakej umrah mereka.
Saya berpendirian pemberian tauliah mempunyai banyak kebaikan kepada umat. Dengan cara ini dapat menyaring mereka yang betul berkuliah mengajak masyarakat pada taqwa selaras dengan fahaman dan pegangan agama negeri.
Ini dapat membendung mereka yang menyeleweng dan menyampaikan pengajaran bertentangan dengan aqidah sekali gus menghalang ajaran sesat dari bertapak. Tetapi, kita juga kena berlaku adil.
Sekiranya seorang wakil rakyat baik diperingkat DUN mahupun Parlimen menepati semua syarat yang ditetapkan dan tidak berkempen untuk dirinya atau partinya maka yang mana salahnya mereka tidak diberi tauliah?
Jika YB itu sebelumnya seorang peguam atau doktor, setelah menjadi YB dia masih boleh
meneruskan karier dan khidmatnya itu macam biasa.
Tetapi jika seorang ustaz yang memang sudah berpuluh tahun mengajar agama di masjid kemudian menjadi YB tiba-tiba kita sekat dari dia menyampaikan kepakarannya? Mana logiknya?
Untuk kawasan sub urban seperti tempat saya, kami cukup menghargai dan terharu bila dua YB Parlimen kami di Hulu Langat sebelum ini iaitu Dr. Che Rosli Che Mat dari PAS dan Ustaz Hasanuddin dari Amanah meskipun dari dua parti berbeza dapat berdiri atas mimbar berkhutbah dengan teks yang disediakan jabatan agama. Walaupun saya sendiri berbeza fahaman parti dengan mereka tapi saya rasakan ini sesuatu yang baik.
Bila Ramadan bakal menjelang segera saya teringat juga kepada dua bekas YB tadi, mereka dengan begitu baik memimpin tarawih, beri tazkirah, bertadarus setiap malam di surau masjid berbeza. Tidak pernah sekali mereka berkempen meminta sokongan pada parti mereka.
Jemaah pula terdiri dari pelbagai khalayak dari pelbagai parti dan semua saling berlapang dada kerana di rumah Allah inilah kita mahu mempersaudarakan semuanya. Sekiranya YB melanggar peraturan, maka ambil lah tindakan sama seperti mana-mana penceramah yang berbuat salah.
Semudah itu sahaja. Tetapi jangan pukul rata sehinggakan semua YB mesti disekat langsung.
Umat yang berada dalam kerugian lebih-lebih lagi jika YB itu sememangnya ulama; yang mewakafkan diri bersusah payah mencari ilmu dan puluhan tahun membuka madrasah menghidupkan masjid, berkuliah serata tempat mengajak orang kepada Allah tetapi hanya kerana dia menjadi YB dia tidak lagi layak dan berhak meneruskan kuliahnya.
Sebagai penutup, sekali lagi saya katakan tauliah ini ada kebaikannya. Maka berilah ruang
pada YB-YB untuk memohon tauliah seperti mana penceramah lain dan sekiranya berlaku
pelanggaran atau kesalahan dalam kuliah mereka maka ambil lah tindakan seperti mana
penceramah lain. Bukankah ini lebih adil? Dan bukankah adil itu lebih hampir dengan taqwa?
Sekiranya YB tak mohon tauliah dan sibuk berceramah dalam masjid memecah-belah umat, maka jangankan jabatan agama, jemaah terlebih dahulu bersedia nyahkan mereka dari masjid dan dari kertas undi.
Nik Aziz Afiq
Seorang pengundi DUN Semenyih