Gambar hiasan

SELURUH warga universiti menyambut baik kesungguhan dan hasrat murni pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan peranan wakaf di universiti-universiti di Malaysia. Dalam Perutusan Tahun Baharu 2023, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menegaskan keperluan bagi setiap universiti untuk meraih dana wakaf, endowment, infak dan apa jua sumbangan, sama ada material dan bukan material bagi memastikan universiti berfungsi sebaiknya. Peranan wakaf dilihat amat signifikan dan mampu menjadi pemangkin kepada kemampanan kewangan di universiti-universiti di Malaysia.

Turut ditegaskan YB Menteri ialah keperluan menjadikan universiti mandiri daripada segi kewangan serta pembangunan prasarana. Ini kerana kelangsungan institusi pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergantung harap sepenuhnya kepada “kemurahan hati atau kebakhilan kerajaan”. Tanggungjawab membangunkan kemandirian kewangan merupakan antara tugas penting di universiti dan ia boleh direalisasikan menerusi pemerkasaan pendanaan wakaf di setiap universiti.

Instrumen wakaf dan hubungannya dengan institusi pendidikan bukanlah sesuatu yang baharu malah ia menjadi antara pemangkin utama kepada kemajuan pendidikan dalam setiap tamadun di dunia. Menjadi kelaziman bagi pengkaji wakaf untuk membawakan contoh-contoh kejayaan wakaf dalam institusi pendidikan di seluruh dunia sama ada di timur mahupun barat. Nama institusi seperti Al-Azhar dan Al-Qawariyyin di timur serta Oxford dan Cambridge di barat sentiasa menjadi rujukan kejayaan pelaksanaan model wakaf atau endowment. Institusi pendidikan di tanah Melayu dan Malaysia juga sebenarnya dipangkin secara mampan menerusi dana wakaf masyarakat Islam sehingga berjaya membangunkan ribuan institusi pendidikan berteraskan agama di seluruh negara.

Dalam konteks masa kini, penilaian pelaksanaan wakaf di universiti-universiti di Malaysia perlu dilakukan secara adil tanpa membanding bezakan institusi-institusi pendidikan luar negara. Realiti perundangan, sistem sokongan dan budaya sangat berbeza konteksnya yang akhirnya menatijahkan hasil yang pastinya berbeza. Semangat dan roh pelaksanaan wajar dicontohi namun aspek pelaksanaan masih perlu berpasak kepada realiti semasa dalam negara.

Dalam menjayakan hasrat murni ini, beberapa cabaran perlu didepani dan anjakan paradigma perlu diambil dalam merealisasikannya. Kesungguhan di  peringkat universiti tidak perlu diragui lagi dengan tertubuhnya unit atau bahagian wakaf di setiap universiti di Malaysia. Pelbagai projek dan program pembangunan wakaf juga telah dan akan dilaksanakan di setiap universiti bagi menyahut hasrat kerajaan ini. Prasarana digital dan kemudahan teknologi terkini semuanya telah tersedia untuk mendokong pemerkasaan wakaf di universiti di Malaysia.

Dua cabaran utama dalam melonjakkan pemerkasaan wakaf di universiti masa kini ialah kewajipan melaksanakannya menepati legitimasi semasa, dan kedua, usaha dedikasi sinergi yang harmoni dengan para pemegang taruh terlibat.

Antara kekangan pihak universiti ialah prosedur permohonan untuk kelulusan di bawah subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi wakaf. Insentif pengecualian cukai bagi para penyumbang wakaf merupakan daya penarik utama kepada usaha pengumpulan dana wakaf di universiti. Namun, prosedur permohonan yang ketat yang perlu dipatuhi menjadi sukar untuk diselarikan dengan peraturan dan undang-undang sedia ada di setiap universiti.

Pemerkasaan wakaf di peringkat universiti perlu menepati legitimasi semasa akta percukaian namun terhalang dengan prosedur yang terlalu ketat dan mengikat. Ruang yang lebih perlu diberikan kepada pihak universiti untuk menjelmakan pembangunan wakaf yang mampan tanpa sekatan peraturan dalam pelaksanaannya. Sebagaimana ruang yang luas diberikan kepada instrumen Zakat dalam pengecualian cukai, instrumen wakaf juga layak dan harus menerima layanan yang sama kerana ia berpotensi besar untuk membantu universiti dan juga negara dalam kemampanan kewangan di masa hadapan.

Selain itu, pemerkasaan wakaf di universiti menuntut dedikasi sinergi yang utuh dengan pihak pemegang taruh utama dalam pelaksanaannya. Dalam situasi ini, pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) merupakan pemegang taruh terbesar universiti dalam pelaksanaan wakaf. Berbeza dengan realiti di luar negara di mana pelaksanaan wakaf dilaksanakan secara bebas dan tiada kawalan khusus, Malaysia sentiasa menjunjung perlembagaan dan undang-undang yang berkaitan dengan pelaksanaan wakaf. Wakaf dan zakat kekal menjadi instrumen pembangunan ekonomi Islam yang dikawalselia dengan rapi oleh MAIN bagi memastikan pelaksanaannya mengikut lunas undang-undang dan tatakelola patuh syariah yang telah ditetapkan.

Sejarah mencatatkan, ketika penjajahan British di Tanah Melayu, pengasingan antara agama, adat dan perkara-perkara duniawi telah berlaku. Semua perkara-perkara yang berkaitan adat Melayu dan agama Islam telah ditadbir oleh sebuah badan khas yang dikenali sebagai Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Manakala selainnya, ia diletakkan di bawah bidang kuasa sistem undang-undang sivil dan jenayah British.

Pelaksanaan wakaf diperuntukan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia khusus berkaitan urusan keagamaan yang diletakkan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri. Melalui peruntukan bidang kuasa yang telah ditetapkan Perlembagaan Persekutuan ini, Badan Perundangan Negeri mempunyai bidang kuasa untuk membuat rang undang-undang tersendiri termasuk dalam perkara yang melibatkan hal ehwal orang Islam pada Bahagian VI “Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri” di bawah Perkara 73 hingga 76 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh kerana itu, MAIN adalah pemegang amanah tunggal (sole trustee) melibatkan harta wakaf, nazar dan amanah di Malaysia. Ini juga seperti dinyatakan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) No. 1 Tahun 2003 (seksyen 89 – 95) dan Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015 bagi negeri Selangor. Bagi universiti-universiti utama yang kebanyakan berada di negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merupakan pemegang taruh utama bagi pelaksanaan wakaf. MAIS melalui Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengawalselia segala urusan berkaitan wakaf agar pelaksanaannya menepati peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Status MAIN sebagai pemegang amanah tunggal (sole trustee) di negara ini menggambarkan keunikan yang tersendiri yang tiada di negara lain dan ia perlu dipertahankan sebaiknya. Ia bertujuan memastikan urusan berkaitan hal ehwal agama Islam dipelihara sebaiknya tanpa boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Semua universiti memperakui peranan MAIN ini dan telah mendokong sebaiknya peranan ini dalam pelaksanaan wakaf. Perjanjian persefahaman juga telah banyak dijalinkan antara pihak universiti dan MAIN di seluruh negara.

Hubungan yang baik ini memerlukan sinergi yang khusus agar pemerkasaan wakaf di universiti dapat dilonjakkan. Situasi menang-menang (win win situation) mampu dihasilkan melalui sinergi yg mantap antara pihak MAIN dan universiti. Pihak universiti tidak sama sekali mengambil alih peranan MAIN dalam urusan wakaf tetapi menjadi pembantu dan penggerak setia kepada pembangunan wakaf negeri. Menerusi pembangunan wakaf di universiti, kesan positif kepada pembangunan wakaf di sesebuah negeri akan turut dirasai. Penyelidikan dan konsultasi kepakaran daripada pihak universiti juga mampu membantu pihak MAIN dalam memastikan pembangunan wakaf dilaksanakan secara mampan, sistematik dan berimpak tinggi.

Kesudian pihak MAIN membantu universiti dengan memberikan status penolong mutawalli atau nazir merupakan antara perkara yang mampu melonjakkan pemerkasaan wakaf di universiti. Melalui pemberian status yang mempunyai kuasa untuk memungut, melabur serta menggunakan hasil pelaburan daripada dana wakaf, pihak universiti layak memohon insentif pengecualian cukai bagi para penyumbang wakaf. Kerjasama dan kesefahaman erat bersama MAIN juga mampu menyelesaikan perkara-perkara teknikal berkaitan wakaf seperti status pemilikan tanah wakaf di dalam universiti, penyaluran kutipan dana wakaf dan sebagainya.

Usaha pembangunan wakaf di universiti merupakan peranan dan tanggungjawab bersama semua pihak. Segala strategi dan mekanisme perlu dirancang dan digembleng bersama bagi memastikan kelancaran dalam pelaksanaannya. Kesungguhan dan hasrat murni pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan peranan wakaf di universiti- boleh dicapai sekiranya cabaran yang digariskan berjaya didepani dengan jayanya sekaligus melonjakkan wakaf sebagai pemangkin kemampanan kewangan negara selari dengan semangat Malaysia Madani.

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast