GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa yang menguruskan Taman Negeri Perlis tidak membenarkan peniaga-peniaga berniaga di kawasan View Point Wang Kelian.
Presidennya, R. Meenakshi berkata, ia susulan pihaknya menerima aduan awam yang memaklumkan kehadiran peniaga di lokasi itu menyukarkan pengunjung menikmati keindahan persekitaran dan mengambil gambar.
“Peniaga-peniaga tersebut juga dikatakan meletakkan kenderaan mereka di kawasan view point yang menyebabkan ruang agak terhad untuk pengunjung menghirup udara bersih.
“Selain itu, keberadaan peniaga-peniaga tersebut di kawasan view point juga menimbulkan masalah sampah dan kebersihan persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, SAM berharap pihak berwajib akan mengambil tindakan agar orang ramai tidak berdepan sebarang kesukaran ketika berada di lokasi tumpuan pelancong di negeri itu. – MalaysiaGazette