Individu yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy' bersama bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjalan keluar selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM berikutan tamat tempoh reman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan program Jana Wibawa ketika di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini melepaskan seorang lelaki dikenali sebagai Datuk Roy dan seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Kedua-dua mereka telah ditahan reman sejak tiga hari lepas berhubung siasatan program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) oleh SPRM.

Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan anak guam dilepaskan masing-masing dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Prosiding yang telah berjalan pagi ini disahkan oleh peguam bela kedua-dua lelaki berkenaan, Fahmi Abd Moin.

Untuk makluman, Datuk Roy ditahan ketika memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di sini pukul 3 petang Isnin lalu.

Majistret Kuala Lumpur, Noorelynna Hanim Abd Halim kemudian membenarkan lelaki itu direman tiga hari dan melepaskan suspek dengan jaminan SPRM pada Khamis lalu.

Pada hari yang sama, Datuk Roy ditahan semula sebelum Mahkamah Majistret Putrajaya menyambung reman empat hari lagi berakhir hari ini.

Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

Tertuduh juga pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Pendaftar yang ditahan reman ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, jam 9.30 malam, Jumaat lalu.

Suspek disyaki cuba bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta, bagi membantu menyelesaikan kes siasatan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan yang sudah dituduh berkaitan projek itu.

Tertuduh yang pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah sehingga Disember 2021 didakwa meminta suapan sebagai balasan seperti meminta pihak SPRM menukar keterangan tertuduh kepada saksi dan menukar pertuduhan rasuah kepada pertuduhan alternatif. – MalaysiaGazette