Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) memandang serius naratif Melayu dan Islam terancam sebagaimana dicanang parti pembangkang.

Ketua Pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff  sendiri masih kabur dengan dakwaan itu.

“Apa yang terancam pun saya sendiri kabur. Apakah betul-betul terancam atau sengaja ditimbulkan oleh pihak oposisi untuk menunjukkan Perdana Menteri ke-10 lemah dan kerajaan ini lemah?

“Saya ingat di bawah kerajaan dahulu, Pakatan Harapan (PH) dilemahkan dengan isu Allahyarham Muhammad Adib, gereja, Jawi, ICERD, Statut Rom, kitab Injil dan lainnya.

“Kini isu yang sama muncul lagi. Muncul kembali isu gereja, kerajaan zalim, Kristianisasi, LGBT, Mentega Terbang dan parti oposisi dimandulkan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Menurut Dr. Mohammad Agus, beliau sedih dengan perkara itu kerana akan menyebabkan segala gerak kerja kerja pelaksanaan gagasan Malaysia Madani terganggu kerana isu yang dimainkan itu.

Katanya, sebaik menerima tawaran sebagai Ketua Pengarah J-Kom, hasratnya cuma satu, iaitu mahu membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim membangunkan negara ini.

“Saya gembira apabila Perdana Menteri mengumumkan wawasannya Malaysia Madani. Malaysia Madani ini adalah untuk mengangkat kemampanan, kesejahteraan, masyarakat yang inovatif, saling menghormati, keyakinan dan keihsanan.

“Saya yakin wawasan Anwar akan mampu membina peradaban bangsa kita yang hebat. Namun, satu setengah bulan di sini, saya sedih dengan isu yang dimainkan pihak oposisi,” kata beliau.

Mohammad Agus turut menolak dakwaan beliau membodek Perdana Menteri dengan menerima jawatan Ketua Pengarah J-Kom.

“Saya membodek PM? Untuk apa saya bodek? Saya tidak bodek sesiapa tetapi mempertahankan PM kerana saya faham hasrat PM untuk membawa reformasi kepada negara yang bertuah ini.

“Ini yang saya mahu, tetapi bagaimana PM boleh tumpukan kepada tugasnya jika setiap hari kita bermain dengan sentimen dan emosi perkauman,” katanya.

Namun ujarnya, beliau terubat apabila Anwar dengan tegas menyatakan, jangan ugutnya dengan naratif yang boleh menghuru harakan negara.

Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani juga telah bersuara dan semalam, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh memberikan amaran tegas akan mengambil tindakan kepada posting yang menggugat keharmonian negara.

“Saya boleh menerima perbezaan pendapat, tetapi janganlah sampai ke tahap fitnah, memburukkan peribadi dan mengancam ketenteraman negara. Janganlah sampai ke tahap hidup kita tidak harmoni. Islam tidak mengajar kita begitu.

“Saya mohon agar berilah kerjasama kepada kerajaan untuk melaksanakan tugasnya. Berilah juga ruang kepada J-Kom untuk turun ke lapangan menyantuni rakyat dan menyebarkan wawasan baik mengenai Malaysia Madani ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast