BUKIT MERTAJAM – Seramai 142 peniaga Bazar Ramadan di pekarangan masjid Umar Ibnu Al-Khattab di Bayan Baru di sini bakal menikmat kadar sewa ruang niaga berkonsep Rahmah menjelang Khamis ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, kesemua peniaga itu dikenakan kadar sewaan tetap RM1,000 berbanding kadar mengikut bidaan yang mencecah sehingga RM3,000 sebelum ini.
“Bazar Ramadan Rahmah ini merupakan inisiatif baharu KPDN dan bagi Pulau Pinang ia membabitkan 142 lot perniagaan di Bazar Ramadan Bayan Baru.
“Kita harap dengan pengurangan kadar sewa sebanyak RM2,000 itu dapat diterjemahkan melalui kos penyediaan makanan agar pengunjung dapat menikmati makanan pada harga berpatutan,” katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak di sini hari ini.
Tambah Jegan, gimik pelancaran Bazar Ramadan Rahmah itu adakan dilaksanakan oleh Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh pada 30 Mac ini.
“Operasi bazar akan bermula Khamis ini namun pelancaran rasmi pada hujung bulan.
“Selain itu, kita juga dalam peringkat perbincangan mengenai penyediaan menu Rahmah di bazar berkenaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette