Anwar sebak
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menahan sebak semasa menyaksikan persembahan pantomim insiden pencerobohan Kampung Tanduo Lahad Datu pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pantomin Op Daulat yang memperingati 10 tahun serangan insiden pencerobohan Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan dua anggota polis  telah meruntun jiwa hadirin yang hadir pada istiadat sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di sini hari ini.

Ia turut menyentuh perasaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Maimunah Iskandariah.

Beberapa dif kehormat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut kelihatan menitiskan air mata sebelum mengelapnya ketika menyaksikan persembahan yang dilakonkan semula oleh kebanyakan bekas pejuang dalam kejadian tersebut.

Persembahan pentomin yang menunjukkan peringatan 10 tahun insiden pencerobohan Kampung Tanduo Lahad Datu pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2023.

Persembahan itu menceritakan detik dari mula tentera dari Kesultanan Sulu menceroboh negara hingga ke pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013 yang mengorbankan Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud.

Pantomin itu jelas meruntun jiwa para hadirin yang menyaksikan persembahan itu apabila anak-anak kepada kedua-dua Allahyarham Zulkifli dan Sabaruddin dibawa masuk ke dalam pementasan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan hadir pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2023.

Mereka ialah anak kepada Zulkifli iaitu Mohd Norakmar Amiruddin, 15, Noor Muhammad Aqil, 11, Noor Aqib Syahid, kini berusia 10 tahun, hanya berumur sebulan ketika insiden meragut nyawa bapanya.

Turut hadir cahaya mata kepada Sabaruddin iaitu anak sulungnya, Haziq Wahiduzzaman dan Hareq Zafri yang masing-masing berusia 28 dan 25 tahun.

Selesai persembahan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  dan Tunku Azizah berkenan turun ke dataran kawad dan beramah mesra dengan semua anak Allahyarham Zulkifli dan Sabaruddin.

Persembahan itu yang menjadi pengisian penting dalam istiadat itu dikoreografikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Komando 69, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim dengan dibantu oleh Pegawai Turus Risik / Gerakan 69 Komando, Superintendan Hamsah Abd Rani.

Pantomin itu dijayakan oleh 86 pegawai dan pegawai rendah polis yang kebanyakannya merupakan anggota yang sama-sama telah menyertai operasi itu di Kampung Tanduo 10 tahun lalu.-MalaysiaGazette