Gambar reruai Tourism Pahang di MATTA Fair 2023 yang dirakam netizen.

KUANTAN – Promosi pelancongan Pahang paling hambar!

Itu antara luahan pengguna media sosial dalam kunjungan mereka ke MATTA Fair anjuran Persatuan Ejen -Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2023 di Kuala Lumpur pada 17 hingga 19 Mac baru-baru ini.

Rata-rata mereka memuat naik gambar-gambar ruang pameran setiap negeri yang mengambil bahagian dan meluahkan kekecewaan apabila pavillion Pahang tampil paling minimalis’.

“Soal pelancongan tak agresif langsung kalau compare dengan jiran, Terengganu,” kata seorang pengguna media sosial, Mangbotok Al Kuantani.

Bagaimanapun, Exco Perpaduan, Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man tampil menjelaskan pendekatan yang diambil Tourism Pahang mungkin nampak berbeza berbanding negeri lain.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, beliau mengakui perbezaan rupa luaran ruang pameran itu dengan negeri-negeri lain mengundang rasa tidak puas pengunjung namun akur dengan teguran yang diberikan.

Leong Yu Man

“Saya berterima kasih kepada semua yang memberi teguran tentang reruai Tourism Pahang khususnya dalam kalangan warga negeri ini sendiri.

“Segala komen saya terima dengan hati terbuka, kita perlu mengakui kekurangan dan membuat pembetulan, barulah dapat tingkatkan prestasi,” kata Yu Man.

Jelas beliau, matlamat utama penyertaan Tourism Pahang adalah bagi memberi ruang kepada pemain industri yang mengambil bahagian untuk menjual pakej masing-masing.

Ia terbukti apabila beliau dimaklumkan sebanyak 13 pemain industri pelancongan dan pengusaha hotel penginapan yang mengambil bahagian telah memperoleh hasil yang memuaskan dalam program tersebut.

“Pada masa sama, ia tidak bermaksud Tourism Pahang ambil ringan dan tidak bersungguh-sungguh dalam penyertaan di MATTA Fair kali ini cuma pendekatan dalam sisi pameran kali ini tidak sama dengan negeri lain.

“Jadi, untuk tahun depan, kita akan perbaiki dan tambah baik dari segi hiasan supaya imej Pahang dapat dipaparkan dengan lebih baik di MATTA Fair,” tambahnya.

Pameran MATTA Fair Kuala Lumpur kembali lagi untuk edisi yang ke-52 diadakan pada 17 hingga 19 Mac baru-baru ini di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur.

Menurut penganjur, pameran pelancongan itu dijangka menjana jualan sehingga RM400 juta dengan sasaran 250,000 orang pengunjung.

Sementara itu, difahamkan, Program MATTA Fair Pahang akan di adakan di Berjaya MegaMall di sini pada 4 Mei hingga 7 Mei ini pula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast