Ketua Eksekutif Kejuruteraan Toyota Vios serba baharu, Hideyuki Kamino (kiri) bersama Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Takashi Obata (dua kiri), Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad, Tan Sri Datuk Sri Hamad Kama Piah Che Othman (tengah), Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Datuk K Ravindran (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuad Mohd Kenali (kanan) bergambar selepas pelancaran Toyota Vios 2023 generasi keempat di M Hotel & Resort, Bukit Kiara. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Lebih bergaya dan serba baharu, Toyota Vios 2023 generasi keempat yang baharu dilancarkan sudah menerima lebih 5,000 tempahan sejak dibuka pada 24 Februari lalu.

Ditawarkan dengan  dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, Toyota Vios dijual pada harga RM89,600 dan RM95,500.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran berkata, tempahan yang memberangsangkan itu bukti sedan subkompak segmen B itu terus mendapat kepercayaan pelanggan dalam pasaran bukan kereta nasional.

Datuk K Ravindran

“Model terkini itu menggunakan enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i bagi menawarkan prestasi lebih kukuh.

“Manakala transmisi 7-kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic memberikan pecutan lebih tangkas selain ia mampu meningkatkan tahap kecekapan bahan api,” katanya ketika pelancaran malam ini.

Selepas hampir satu dekad generasi terdahulu dalam pasaran tempatan, kini ia dibangun menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang menjadikan dimensi lebih besar berbanding model sebelumnya.

Ruang dalam Toyota Vios 2023 dengan pelbagai spesifikasi lebih canggih.

Antara ciri yang ditawarkan bagi kedua-dua varian dengan transmisi automatik itu adalah enam beg udara, barisan sistem pasif seperti kawalan kestabilan (VSC), kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, cagak Isofix serta sensor parkir.

Menurut Ravindran, ciri keselamatan terkini seperti Toyota Safety Sense (TSS) yang memberi amaran kepada pemandu tentang bahaya sekali gus bertindak secara autonomi bagi mengelak perlanggaran turut disediakan.

Dikilangkan di Assembly Services Sdn Bhd di Bukit Raja, Klang, ia tersedia menerusi lima pilihan warna dengan Spicy Scarlet tampil sebagai pilihan terkini.

Warna Spicy Scarlet yang menjadi pilihan terkini

Model itu juga diberi jaminan lima tahun dan perbatuan tanpa had, selain pemilik ditawarkan perkhidmatan 24SEVEN Road Assist.

Malah, mereka turut mendapat langganan percuma selama tiga tahun Toyota Vehicle Telematics System yang akan memantau lokasi kereta setiap masa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast