Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media Proklamasi Orang Melayu 19 Mac lalu berbeza dengan perhimpunan di Stadium Kampung Baru yang menyaksikan peristiwa Operasi Lalang tahun 1987.

Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kenyataan mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu langsung tidak menyentuh atau mengecam kaum Cina apatah lagi kaum lain.

Oleh itu, katanya, tidak ada sebab bekas Ahli Parlimen Padang Rengas yang kini Duta Malaysia ke Amerika Syarikat menggesa kerajaan mendakwa Dr. Mahathir bawah Akta Hasutan.

“Sebelum Operasi Lalang dilancarkan, banyak perhimpunan diadakan dengan pemimpin ketika itu menyampaikan ucapan yang bersemangat anti-Cina dan kemuncak perhimpunan adalah di Stadium Kampung Bharu.

“Ramai ditangkap termasuk saya kerana saya tidak lari sebelum atau selepas perhimpunan itu.

“Yang lain, cepat-cepat lari ke luar negara dan kalau tidak silap termasuk Nazri sendiri dan dia tidak tahu ketegangan serta suasana selepas perhimpunan itu. Saya tidak lari sebab saya bukan dari baka baling batu sembunyi tangan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri yang menggesa tindakan di bawah Akta Hasutan diambil terhadap Dr. Mahathir kerana kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap kerajaan.

Kata Nazri, apa yang dilakukan Dr. Mahathir sekarang jelas bertujuan untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan sedia ada.

Katanya, semasa zaman Dr. Mahathir sebagai perdana menteri, sesiapa yang mengadakan perhimpunan mengkritik kerajaan dianggap menentang pentadbiran, dan dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Ibrahim, tangkapan dalam Operasi Lalang adalah keputusan polis, bukan Dr. Mahathir yang kini adalah Penasihat Putra.

Ini katanya, berbeza dengan cadangan Majlis Proklamasi Orang Melayu yang dihadiri jemputan khas VVIP sekitar 350 orang, yang dianjurkan Sekretariat Melayu.

“Saya percaya Anwar telah diberi nasihat yang salah, mungkin oleh para pengampu yang masing-masing mahu mendapat perhatian dan kredit dari Perdana Menteri.

“Apakah pihak keselamatan tidak memberi nasihat yang betul kepada Anwar sehingga menerima nasihat daripada golongan itu? Biasalah budaya cari makan dan cium tangan,” ujarnya.

Beliau menasihat orang ramai supaya tidak perlu melayan kenyataan Nazri yang tidak ada apa-apa nilai dan jauh sekali ada kredibiliti.

“Nazri kenal saya dan saya pun kenal Nazri. Pergilah khidmat sebagai Duta Amerika Syarikat, jangan buat kenyataan yang kontroversi.

“Ingat, orang lain pun ada perasaan dan ada otak juga. Dr. Mahathir kini dijadikan punching beg bagi kaki pengampu. Ini samalah yang dialami Tengku Razaleigh Hamzah yang hendak mengampu Dr. Mahathir dahulu, yang turut melantik Nazri sebagai menteri.

“Semoga semua bahagia dan biarlah Dr. Mahathir berjuang kerana baginya perjuangan belum selesai dan saya pula akan meneruskan perjuangan tanpa noktah. Dr. Mahathir tahulah bagaimana nak menjaga keselamatan negara dan isu perkauman,” katanya.

Kata Ibrahim, dalam usia mencecah 98 tahun dan dua kali menjadi perdana menteri, tidak perlulah sesiapa apatah lagi Nazri hendak mengajar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast