Ahmad Maslan hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Bank-bank yang mendapat lebihan keuntungan susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum ini tidak akan dikenakan Cukai Makmur.

Sebaliknya pihak bank berkenaan hanya diminta melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat mengikut tindakan dan kaedah masing-masing, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Kita tidak bercadang adakan Cukai Makmur kepada bank yang mendapat lebihan keuntungan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang bertanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan Cukai Makmur kepada pihak bank seperti beberapa negara lain berikutan kenaikan keuntungan bank sekitar satu hingga lima peratus.

Menurrut Ahmad, kejatuhan di Silicon Valley Bank (SVB) di Amerika Syarikat (AS) tidak akan merebak kepada bank di negara ini.

Ujarnya, bank di Malaysia mengikuti Basel III iaitu peraturan modal dan pertukaran mudah tunai yang sepatutnya diikuti pihak antarabangsa sebagai piawaian untuk bank.

“Ada sebahagian bank di Eropah tidak mengikuti Basel III, bank di negara kita mematuhinya, jadi kita berharap ia tidak merebak ke negara kita.

“SVB adalah bank ke-16 terbesar di AS dan menyebabkan apa yang berlaku terhadap bank itu merebak ke Credit Suisse di Switzerland, yang mana ada masalah tatakelola menyebabkan ia distruktur semula.

“Mudah-mudahan ia tidak berlaku di Malaysia kerana kita mengikuti dengan ketat apa yang disebut Basel III peraturan antarabangsa mengenai bank,” katanya.

Beliau menjelaskan, keputusan mengekalkan kadar OPR pada 2.75 peratus dibuat bagi menilai kesan pelarasan kumulatif OPR yang lalu terhadap prospek inflasi dan ekonomi Malaysia.

Tambahnya, kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas iaitu daripada 1.75 peratus kepada 2.75 peratus, setakat ini mencerminkan pengembalian tahap penyesuaian dasar monetari ke tahap yang wajar berikutan pengurangan sebanyak 125 mata asas semasa pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia pada 2020. – MalaysiaGazette