Zaid Najib RM42 juta
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Dua blok parti yang sedang bertelagah ketika ini, dinasihatkan agar meredakan suhu panas politik masing-masing, demi mengelakkan rakyat merasa gusar dan bimbang dengan kemelut yang berlaku.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, jika kedua pihak iaitu blok kerajaan dan pembangkang saling mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi, ia akan memanaskan lagi suhu politik.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja tidak baik untuk negara, malah memberi kesan buruk kepada rakyat.

“Saya harap parti kerajaan dan pembangkang cuba redakan sedikit suhu panas politik ini kerana apabila pihak tertentu melakukan sesuatu provokasi dan kenyataan melulu serta melampaui batas, maka reaksi dari sebelah pihak lain pun sama.

“Masing-masing akan hilang cara maklum balas mereka, lalu keluarlah perkataan kasar serta menuduh satu sama lain,

“Ini tidak baik untuk politik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang memberi amaran polis akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh membangkitkan kegusaran awam.

Zaid berharap, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), malah semua parti politik tidak terbawa-bawa dengan polemik itu.

“Sebaliknya, cakap dan bincanglah perkara yang boleh menguntungkan kita dan rakyat khususnya serta tunjuklah sikap moderat atau sederhana. Bukankah kesederhanaan itu suatu sifat kita orang Malaysia, khususnya orang Melayu.

“Kita bukan ekstrem, tetapi kalau kita hanya menuduh satu pihak yang ekstrem dan kita tidak menunjukkan sikap moderat, maka kita juga ekstrem.

“Tak ada siapa yang untung dalam hal ini. Lebih lagi, PRN sudah hampir dekat. Ini akan menyukarkan rakyat untuk membuat pilihan yang baik, jika keadaan ekstrem ini berterusan,” katanya.

Bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu juga turut melahirkan rasa kecewa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila memaklumkan dalam Parlimen bahawa kerajaan tidak akan membayar royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

Katanya, alasan diberikan sama seperti zaman pentadbiran dan pemerintah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat dan ketujuh.

“Dahulu, Dr. Mahathir memberi alasan kononnya telaga minyak itu di luar pesisir atau perairan Kelantan dan Terengganu.

“Saya harap helah politik ini dihentikanlah. Kita kembali kepada prinsip asas persetujuan negeri-negeri dengan Petronas pada tahun 1973.

“Persetujuan itu ialah apa-apa yang didapati oleh Petronas ada telaga minyak dalam perairan negara, maka negeri itu akan dapat lima peratus royalti,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, di mana moral Perdana Menteri sebagai pemimpin, malah dikatakan tidak ada bezanya dengan pemimpin dahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast