Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menangguhkan tarikh kuat kuasa kenaan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran yang mengandungi gula melebihi had 33.3 gram/100 gram, cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang dan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG) kepada suatu tarikh yang akan
ditetapkan kelak.

Kementerian Kewangan berkata, penangguhan itu bagi memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat penyelarasan ke atas model perniagaan mereka, pelaksanaan latihan dan penyediaan dokumentasi.

Selain itu, kerajaan juga dapat memperhalusi semua aspek perundangan berkaitan bagi memastikan isu pelaksanaan dapat ditangani dengan sewajarnya.

“Ketiga-tiga inisiatif ini telah disyorkan untuk bermula pada tahun 2023, namun mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa secukupnya
untuk membuat persediaan terutamanya di kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), terdapat keperluan untuk menetapkan semula tarikh kuat kuasa pengenaan ketiga-tiga duti dan cukai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semasa pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021, kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk mengenakan duti eksais ke atas kenaan duti eksais, cukai perkhidmatan dan cukai jualan ke atas barang dan perkhidmatan.

Kenaan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran adalah untuk meneruskan usaha kerajaan dalam menyokong strategi membendung arah aliran peningkatan penyakit diabetes, obesiti dan lain-lain penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pemakanan yang tidak seimbang.

Peluasan skop kenaan cukai perkhidmatan untuk meliputi perkhidmatanpenghantaran barang yang disediakan oleh syarikat bukan kurier bertujuan untuk memberikan layanan sama rata di antara semua penyedia perkhidmatan penghantaran barang. Buat masa ini hanya perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat kurier sahaja dikenakan cukai perkhidmatan.

Peluasan skop kenaan cukai jualan untuk meliputi LVG iaitu barang bernilai RM500 ke bawah yang dijual secara dalam talian (online) oleh peniaga luar negara dan diimport ke Malaysia adalah bagi memberikan layanan yang sama rata di antara barangan keluaran tempatan dan barangan yang diimport.

Langkah ini juga bertujuan untuk merancakkan lagi permintaan domestik. – MalaysiaGazette