EUDR
Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kerjasama semua pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, ahli akademik dan pemain industri diperlukan dalam usaha memperkukuhkan aspek keterjaminan makanan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mana-mana pihak yang mempunyai input, produk atau sistem yang boleh menyumbang ke arah usaha tersebut digalakkan untuk mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menurut beliau, antara cabaran yang dihadapi ketika ini adalah makanan haiwan di mana konflik antara Rusia dan Ukraine menyebabkan bekalan produk itu sukar diperolehi dan harganya mahal.

“Sebab itu fokusnya adalah bagaimana kita boleh menanam dalam negara kita sendiri supaya dapat hasilkan bijiran untuk makanan haiwan.

“Pada masa yang sama, bagaimana juga kita nak lihat kepada semua kajian lain, alternatif yang dihasilkan dalam negara untuk makanan haiwan ada ke tidak.

“Selain itu, bagaimana kita nak tingkatkan kalau nak tanam contohnya jagung, siapa yang boleh terlibat bersama dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komuniti menambah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut digalakkan menyediakan tanah bagi penghasilan benih bijiran dan makanan haiwan.

Beliau berkata, setiap cadangan akan dinilai oleh sekretariat bagi menentukan sama ada usaha sama antara pihak terbabit dan kerajaan akan dilaksanakan.

“Sudah tentu memerlukan kajian lanjut untuk mengabsahkan makanan alternatif itu ada setanding dengan yang ada di pasaran,” jelasnya.

Fadillah memberitahu, hasil perbincangan dalam mesyuarat tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bakal dipengerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April atau Mei depan.

Mesyuarat hari ini membentangkan lima kertas termasuk Struktur Tadbir Urus Sekuriti Makanan Negara dan Inisiatif Quickwins Pemantapan Produktiviti Bekalan Makanan Negara oleh KPKM.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membentangkan kertas bertajuk Pelaksanaan Program Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan (SISDA) manakala Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) membentangkan kertas ‘Kawalan Import dan Eksport Keluaran Pertanian’.

Jabatan Perancang Bandar dan Desa pula membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN). – MalaysiaGazette