KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempertimbangkang tiga anak pegawai polis, Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang menjadi korban serangan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi janji tersebut dalam pertemuan dengan balu Zulkifli, Nooraziah Noor dan tiga anaknya di ibu pejabat MARA di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, MARA bagaimanapun tidak berkompromi terhadap pencapaian pelajar dan ketiga-tiga mereka perlu melepasi Ujian Kecenderungan kemasukan MRSM
yang dikenakan terhadap kesemua kemasukan.
‘Paling penting kita tidak pernah berkompromi soal kualiti. Kita melihat perkara pertama dalam aspek untuk membantu macam-mana sekali pun kita ada kreteria minima kemasukan dan semua pelajar perlu mengambil peperiksaan UKKM yang melibatkan empat mata pelajaran.
“Selain daripada keputusan prestasi cemerlang di sekolah masing-masing yang paling utama UKKM,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, kesemua kanak-kanak tersebut perlu membuat permohonan melalui saluran rasmi bagi dipertimbangkan masuk ke MRSM.
Anak sulung wira itu Norakmal Amiruddin, 15, boleh mengemukakan permohonan pada bulan September ini bagi kemasukan ke tingkatan empat.
Manakala Noor Muhamad Aqil, 11, dan Noor Aqib Syahid, 10, boleh membuat permohonan apabila mencapai usia 13 tahun bagi kemasukan ke tingkatan satu.
Ketika kejadian, Noorakmal Amiruddin berusia lima tahun, Noor Muhammad Aqil, setahun dan Noor Aqib Syahid masih dalam kandungan.
“Bila tawaran dibuka untuk kemasukan mereka boleh terus membuat permohonan dan kita akan memberi perhatian serius.
“Saya sendiri beri nombor telefon kepada Cikgu Nooraziah untuk pastikan bila sudah memohon beritahu maklumlah permohonan tahun ini sahaja 90,000 tempatnya 7,200 sahaja,” kata Asyraf Wajdi.
Beliau berkata, MARA juga memberikan peluang sama kepada anak wira negara yang terkorban dalam serangan pengganas Sulu yang berlaku pada 2012.
Turut hadir dalam sidang media adalah Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Razlan Samsuri dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Mohd Amran Bin Mohd Ariffin.
Semalam media melaporkan, Nooraziah menagih sokongan pendidikan yang dijanjikan untuk tiga anaknya sebelum ini termasuk dari MARA.
Nooraziah, 38, yang merupakan seorang guru mendakwa sebelum ini, ada pihak termasuk agensi kerajaan seperti MARA menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anaknya, namun ia tidak ditunaikan biarpun tragedi itu sudah hampir 10 tahun berlalu.
Katanya, meskipun kehidupan mereka sekeluarga mencukupi, beliau masih mengharapkan janji tajaan pendidikan yang disuarakan oleh pihak tertentu.
Dalam tragedi yang berlaku 2013 di Tanduo, selepas beberapa hari rundingan mengusir keluar penceroboh itu dilakukan, pertempuran berlaku antara kumpulan penceroboh dengan anggota pasukan keselamatan yang mengorbankan dua anggota polis komando VAT 69.
Seramai sembilan anggota keselataman terkorban dalam tragedi berkenaan melibatkan dua anggota polis komando VAT 69, seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia dan enam anggota polis terkorban.- MalaysiaGazette