Lim Guan Eng (tengah) mengadakan sidang media di Pusat Media Parlimen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen, Lim Guan Eng memberi tempoh sehingga hari ini kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf secara terbuka kerana menuduhnya membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, sehingga kini, Muhyiddin masih lagi berdegil walaupun didesak berbuat demikian sebelum ini.

Malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa masih belum membalas  surat tuntutan (LOD) yang telah dihantar kepadanya.

Beliau yang juga Pengerusi DAP memberitahu, dakwaan jahat dibuat Pengerusi PN itu adalah sentimen tidak sihat dengan mengheret pemimpin bukan Islam yang mengambil tindakan ke atas institusi Islam yang membuat kerja amal dan kebajikan membantu masyarakat.

“Yang pertama, beliau (Muhyiddin) perlu tarik balik dakwaannya itu dan membuat permohonan maaaf secara terbuka di mana saya beri tempoh sehingga hari ini.

“Jika beliau tidak berbuat demikian, saya akan meneruskan tindakan sivil ke atas Muhyiddin malah beliau juga belum membalas LOD yang dihantar sebelum ini.

“Namun hari ini beliau tidak hadir ke Dewan Rakyat dan ponteng lagi di mana sepatutnya mengikuti perjalanan persidangan di Parlimen,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen hari ini.

Guan Eng menambah, beliau hairan dengan tindakan Muhyiddin yang membuat dakwaan itu secara tiba-tiba di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengheret dirinya dalam keputusan tidak pernah dibuatnya.

Sementara itu, sidang media Guan Eng dibuat sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengesahkan Yayasan Albukhary telah diberikan kelulusan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) yang dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Anwar berkata, tuduhan Guan Eng membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan milik tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak benar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata, kelulusan pembatalan pengecualian cukai kepada yayasan itu telah dibuat pada 25 Februari 2021.

“Kerajaan mengesahkan dari rekod Kementerian Kewangan bahawa YB Bagan (Guan Eng) semasa menjawat Menteri Kewangan tidak pernah membuat pembatalan kepada kelulusan percukaian sebelumnya yang didakwa diberikan kepada Yayasan Albukhary.

“Maka dakwaan yang dibuat bahawa beliau membatalkan pengecualian adalah tidak benar kerana hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan cukai yang di luar kebiasaan yang melibatkan kedua-dua Yayasan Albukhary dan Kumpulan Albukhary,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada 9 Mac lalu, Muhyiddin dalam kenyataan selepas disoal siasat SPRM mendakwa kKrajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pengecualian pembayaran cukai diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Beliau turut mendakwa mengetahui punca Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

Bagaimanapun, Guan Eng mencabar Muhyiddin mengemukakan bukti mengenai surat pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary yang didakwa dikeluarkan beliau atau berdepan tindakan saman fitnah. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Nak saman, trus samanla apek. Lagi mau gertak macam samseng. Lu pikir semua pcaya sana lu ka apek?

Comments are closed.