KUALA LUMPUR – Semakin ramai selebriti mula melibatkan diri dalam perniagaan terutamanya bidang makanan walaupun memiliki nama besar dan popular.
Apa tidaknya, ini kerana sebagai usahawan atau tauke restoran, mereka bukan hanya duduk sahaja selepas melabur wang yang banyak sebaliknya perlu melayan kerenah pengunjung selain berdepan aduan tentang kualiti dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Bagi penyanyi popular, Shiha Zikir, 36, dia sedar bukan sesuatu yang mudah membuka restoran nasi ayam apatah lagi di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Namun pemilik nama sebenar, Nurshiha Mohd Zikir mempunyai pandangan yang berbeza.
Baginya, setiap apa jua bidang yang diceburi pasti ada risiko, tetapi jika memiliki minat dan bersungguh melakukannya pasti ada kejayaan di kemudian harian.
“Inspirasi saya untuk menceburi dunia perniagaan ini berputik apabila sering membantu ibunya berniaga makanan di Pulau Pinang suatu ketika dahulu.
“Melihat kesungguhan ibu serta berbekalkan sedikit pengalaman, saya yakin keputusannya untuk menceburi diri dalam bidang makanan dan minuman ini adalah jalan yang tepat.
“Apatah lagi saya merupakan peminat nasi ayam Hainan. Dalam seminggu lebih empat kali saya akan menikmati keenakan nasi ayam dan sebab itu Shiha yakin dengan perniagaan nasi ayam ini,” kata pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 37 berkenaan.
Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam yang mula beroperasi minggu lalu di Wisma Infinitum, Kampung Baru di sini dan dibuka setiap hari bermula pulkul 10 pagi hingga 9 malam.
Terdapat tiga pilihan menu nasi ayam iaitu Nasi Ayam Barbeku, Nasi Ayam Panggang dan Nasi Ayam Stim selain pelbagai pilihan makanan lain seperti menu Cina Muslim.
Shiha menambah, bisnes makanan itu diusahakan bersama lima rakan kongsi.
“Saya juga rasa bertuah dan bersyukur di atas keprihatinan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali yang memberi sumbangan sebanyak RM 10,000 sebagai sokongan usaha saya untuk aktiviti bantuan makanan sepanjang Ramadan ini,” katanya yang baru muncul dengan single bertajuk Kalam. – MalaysiaGazette