KAJANG – Kementerian Dalam Negara (KDN) akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu melibatkan Jabatan Penjara Malaysia bagi mengelak isu kesilapan identiti mayat tahanan berulang.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sedang mengkaji kaedah baharu termasuk menambah baik sistem penjara sedia ada.
“Maju ke hadapan lepas ini, saya telah pun berbincang dengan pimpinan Jabatan Penjara. Kita ada beberapa inisiatif untuk membantu kita menambah baik dari sudut pengesahan identiti berbanding keadaan biasa dan kita belajar daripada pengalaman ini.
“(Butiran) itu akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di Maktab Penjara Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai isu kesilapan identiti mayat seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh menyebabkan ia hampir membakar mayat berkenaan selepas dituntut di Hospital Sungai Buloh pada 3 Mac lalu.
Bagaimanapun selepas kesilapan identiti itu dikenalpasti, keluarga terbabit segera dihubungi pihak berkuasa penjara yang memaklumkan anak mereka masih hidup dan berada dalam tahanan.
Dalam pada itu, insiden kecuaian itu tidak akan menutup segala usaha baik Jabatan Penjara Malaysia bukan sahaja menghukum pesalah bahkan memulihkan golongan itu sebelum kembali kepada masyarakat.
“Tapi ia tidak sampai merosakkan keseluruhan cerita tentang kekuatan dan kelebihan Jabatan Penjara. Sudah tentu ada satu dua kes terpencil begini dan kita segera ambil langkah untuk menambah baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette