Restoran i'Dahlia Corner terletak di kawasan kejiranan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan segi tiga emas di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Buat mereka yang mahu mencari kelainan untuk berbuka puasa pada Ramadan ini dalam keadaan tenang dan suasana kehijauan, apa kata memilih pergi ke I’Dahlia Corner kali ini.

Restoran itu merupakan satu-satunya yang diusahakan oleh usahawan Bumiputera yang terletak di kawasan kejiranan Menara Berkembar ­Petronas (KLCC) dan segi tiga emas di Kuala Lumpur yang menawarkan menu berbuka puasa secara bufet dalam taman dipenuhi pokok-pokok hijau yang membuat mata redup memandang.

Pemilik restoran, Dahliati Ali­ruddin yang telah terlibat dalam bidang makanan dan minuman sejak tujuh tahun lalu itu berkata, antara menu popular di I’Dahlia adalah sup tulang meletop dan menu ala kampung yang pasti menggamit nostalgia.

“Buat kali kedua bufet Ramadan pada tahun ini akan memberi peluang kepada orang untuk menikmati berbuka puasa dalam suasana yang santai sambil diserikan dgn persembahan kebudayaan pada setiap hujung minggu.

“Pada masa sama, kemudahan parkir dan surau turut disediakan dalam usaha memberi keselesaan kepada pengunjung yang menikmati selera dengan penuh ketenangan namun digalakkan membuat tempahan awal,” katanya pada majlis revie Ramadan baru-baru ini.

Terdapat lebih 60 menu disediakan di I’Dahlia Corner sepanjang Ramadan.

Dahliati menambah, sepanjang Ramadan ini, terdapat lebih 60 menu termasuk sajian utama, pemanis mulut dan minuman ditawarkan kepada pengunjung bermula 25 Mac ini sehingga 20 April depan dari pukul 6:30 petang hingga 10 malam.

Beliau berkata, juadah ala-kampung dan moden yang disediakan setiap hari ditawarkan pada harga yang berpatutan bagi membolehkan semua lapisan masyarakat datang berbuka puasa di restoran itu.

Katanya, antara juadah yang menanti pengunjung antaranya gulai kawah, ayam percik, ikan bakar, sambal jering, siput sedut masak lemak cili api, asam pedas, rendang minang, nasi ayam I’dahlia dan nasi lemak daun pisang termasuk aneka juadah kuih-muih.

“Selain itu, terdapat 10 jenis pemanis mulut yang disediakan seperti pengat pisang, pengat ubi, kuih muih melayu, goreng-gorengan seperti pisang goreng, ubi goreng,” katanya.

Sementara itu, bufet Ramadan dalam taman ini hanya berharga RM69 bagi dewasa, RM49 (warga emas) dan RM39 bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun di mana tempahan awal boleh dibuat di talian 0179913907. – MalaysiaGazette

Pemilik I’Dahlia Corner, Dahliati Ali­ruddin.