Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang membolehkan pembeli rumah pertama memiliki kediaman sendiri tanpa membayar wang pendahuluan akan dimansuhkan mulai 1 April ini.

Ini sekali gus menyebabkan pembeli rumah pertama perlu menyediakan deposit 10 peratus daripada harga hartanah yang ingin dibeli sama seperti pembeli yang lain.

Cagamas Bhd, perbadanan yang bertanggungjawab menguruskan skim berkenaan menasihatkan pemohon yang berminat untuk mengemukakan permohonan pinjaman atau pembiayaan perumahan di bawah SRP selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.

Menurut maklumat yang dipaparkan di laman web Cagamas, lebih 90,000 pemohon berjaya mendapatkan pembiayaan menerusi skim berkenaan dengan lebih 90 peratus adalah golongan B40 dan belia berusia di antara 25 hingga 40 tahun.

Skim yang diperkenalkan sejak 2011 bermatlamat membantu pembeli yang berpendapatan kasar bulanan isi rumah di bawah RM10,000 untuk memiliki rumah pertama mereka.

SRP membolehkan pembeli rumah pertama untuk mendapat pembiayaan sehingga 110 peratus daripada bank-bank yang terbabit dan membolehkan pemilikan rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.

Ia sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pembiayaan atau pinjaman yang diperoleh untuk pembelian rumah pertama itu akan dijamin oleh Cagamas SRP Bhd.

Cagamas SRP akan menjamin sehingga 20 peratus pertama nilai pinjaman atau pembiayaan atas dasar ‘kerugian pertama’.

Hartanah yang boleh mendapatkan pembiayaan di bawah SRP adalah rumah kediaman di pasaran utama dan sekunder yang terletak di dalam negara, dengan nilai maksimum adalah RM500,000.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast