Superintendan Ashari Abu Samah

KUALA LUMPUR – Penganjur Program Thai Hot Guy akhirnya akur dengan arahan polis dan membatalkan program hiburan yang disifatkan sebagai mencemar moral di negara ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, penganjur dan pengurus premis hiburan itu juga tampil bertemu polis sebelum bersetuju membatalkan program itu.

Katanya, pada jam lebih kurang pukul 2.30 petang tadi, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah mengadakan perjumpaan dengan penganjur dan pengurusan premis tersebut.

“Amaran keras telah diberikan oleh polis kepada pihak penganjur agar program tersebut tidak diteruskan dan perlu dibatalkan.

“Pihak penganjur dan pengurusan akhirnya akur dengan arahan kami untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang sebelum ini tular akan diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pun begitu, tambah Ashari, polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut bagi memastikan mereka benar-benar mematuhi kepada arahan.

“Polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang oleh pihak berkenaan dalam isu tersebut,” katanya.

Jelas beliau, semalam, IPD Wangsa Maju telah mengesan satu video telah tular berkenaan penganjuran satu program yang akan dihadiri oleh kumpulan Thai Hot Guy yang memaparkan imej tidak sopan dan bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia.

Kata Ashari lagi, program tersebut dirancang akan diadakan di sebuah premis di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.

Jelas beliau, promosi berkaitan program tersebut telah menimbulkan reaksi yang tidak menyenangkan serta kecaman daripada masyarakat.

“Semakan sehingga pukul 4 petang hari ini, polis mendapat sebanyak 60 laporan diterima yang membantah penganjuran program berkenaan.

“Pihak polis sentiasa peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam,” tegasnya. – MalaysiaGazette