KUALA LUMPUR – Jumlah kutipan untuk Tabung Aid4Turkiye&Syria bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini mencecah lebih RM1.3 juta sejak dilancarkan bulan lalu.
Pengarah Sekretariatnya, Mohd. Yusni Matpiah berkata, jumlah itu meningkat selepas berjaya mengutip dana dari pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli Pas seluruh Terengganu, baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengarah PasRelief memberitahu, jumlah kutipan itu dibawa untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa gempa bumi menerusi kumpulan keempat misi kemanusiaan yang telah tiba di sana.
“Tumpuan utama rombongan kali ini adalah untuk mengagihkan keperluan seharian menjelang bulan Ramadan yang akan tiba.
“Pada masa sama adalah untuk menyiapkan pembinaan rumah sementara (Container Shelter Home) kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
“Semoga dengan sumbangan yang dibawa itu boleh memberi sinar keceriaan bagi mereka yang berada dalam keadaan yang terdesak,” katanya di Facebook rasmi PasRelief di sini.
Mat Yusni menambah, pasukan keempat seramai 10 orang itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah,
Turut serta di dalam rombongan tersebut adalah Persuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Terengganu, Tuan Rozi Bidin danExco Kerajaan Terengganu, Hanafiah Mat.
“Syabas dan tahniah kepada pasukan Ustaz Wan Sukairi yang juga merangkap Koordinator PasRelief Negeri Terengganu kerana telah berjaya mengutip dana bencana gempa bumi Turkiye ini dari pelbagai agensi dan NGO serta ahli Pas seluruh negeri itu,” katanya.
Awal bulan lalu, Aid4Turkiye&Syria ditubuhkan oleh 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
PasRelief pula merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu yang akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut. – MalaysiaGazette