Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JAHEAIK) perlu memperluaskan skop penerangan kepada rakyat berhubung kesalahan kaum lelaki memakai seluar pendek.

Bekas Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, selain penerangan, dua pihak berkenaan juga perlu berlaku adil apabila tidak mengenakan tindakan ke atas pemain bola sepak, yang jelas memakai seluar pendek.

Bagaimanapun, katanya, jika orang awam terutama anak muda memakai seluar pendek, mereka dikenakan notis amaran mengikut Seksyen 23 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 yang boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara.

“JAHEIK keluarkan notis kepada orang ramai yang pakai seluar pendek. Katanya, ini melanggar hukum syarak. Saya harap kerajaan Pas Kelantan kalau dah buat undang-undang, ikutlah proses dan cara yang betul.

“Konsep hukum syarak atau melanggar hukum syarak ini agak luas, sedangkan kita tahu undang-undang jenayah ini kena spesifik, tepat dan biar orang ramai faham.

“Kalau lelaki pakai seluar pendek tak tutup aurat itu salah, cakaplah ini kesalahan. Jangan kata ini melanggar hukum syarak kerana banyak lagi kes lain yang melanggar hukum syarak,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Di Tanah Merah, Kelantan Selasa lalu, tujuh lelaki yang memakai seluar pendek paras paha diberi notis amaran oleh penguatkuasa JAHEAIK atas kesalahan aurat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain dilaporkan berkata, notis itu dikeluarkan kepada mereka yang berusia belasan tahun hingga 20-an di sebuah kedai di Tanah Merah.

Zaid yang merupakan pemilik firma guaman terbesar di negara ini, menggesa peguam Melayu dan Islam agar meneliti perkara itu supaya tidak menyusahkan rakyat dengan kepincangan undang-undang.

“Kalau pakai seluar pendek itu tidak menutup aurat dan satu kesalahan, cakap biar jelas dan terangkan enakmen tersebut dan tangkaplah pemain bola sepak sekali, tangkap juga VVIP yang saya tahu tidak tutup aurat.

“Kalau nak laksanakan undang-undang, laksanakan secara adil kepada semua. Jangan budak kampung saja yang kena tangkap. Jangan biarkan undang-undang syariah dilihat boleh pilih bulu,” katanya. – MalaysiaGazette