KUALA LUMPUR – Rangkaian kedai serbaneka 99 Speed Mart menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada 150 barang keperluan asas sempena Jualan Rahmah Hari Raya yang bermula hari ini hingga 22 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tawaran itu amat berbaloi, berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Jualan Rahmah ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
“Kerajaan terus komited untuk memastikan rakyat Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Kempen Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speed Mart Cawangan Bukit Jalil.
Pelaksanaan Inisiatif Payung Rahmah di seluruh 2,300 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara ini meliputi aktiviti Jualan Rahmah yang dijalankan selama sebulan mulai 23 Mac 2023 sehingga 22 April 2023.
Jualan ini melibatkan sebanyak 150 pelbagai produk barang asas seperti beras, susu tin, air minuman, ketupat mini, kordial, barangan pencuci, Mentega dan biskut raya.
Jualan Rahmah 99 Speed Mart ini menawarkan pada harga yang lebih rendah sehingga 40 peratus berbanding harga jualan murah sedia ada.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa menyokong usaha pemain industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi nilai tambah kepada pengguna, khususnya menjelang musim perayaan.
“Di bawah Inisiatif Payung Rahmah yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga berpatutan, di samping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga.
“Inisiatif ini manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.
“KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette