sprm nazlan
Salinan dokumen yang dikongsi pemilik akaun Twitter mahazalimreturn.

KUALA LUMPUR – Salinan dokumen yang didakwa laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kini terdedah tular dalam media sosial.

Laporan berhubung dakwaan pelanggaran kod etika hakim yang dikemukakan SPRM kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu dikongsi oleh pemilik akaun Twitter mahazalimreturn hari ini.

Berdasarkan maklumat pada muka akhir salinan dokumen tersebut, SPRM mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap Mohd. Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Penganalis politik, Lim Sian See yang berkongsi ciapan tersebut dalam hantaran Facebook hari ini mendakwa, Mohd. Nazlan telah melakukan kesalahan menyoorok maklumat dan melanggar kod etika hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Dana RM42 juta tidak boleh dipastikan berasal dari SRC International sebab dana RM170 juta telah dibayar oleh Putrajaya Perdana dan anak syarikatnya, Permai Binaraya kepada SRC ketika itu.

“Dana RM170 juta ini berasal dari pinjaman Maybank yang diluluskan ketika Mohd. Nazlan merupakan ketua bahagian undang-undang Maybank,” katanya.

Beliau menambah, SPRM juga telah mencadangkan kepada Tengku Maimun agar tindakan diambil ke atas Mohd. Nazlan kerana dipercayai melanggar Kod Etika Hakim.

Malah, Sian See memberitahu, kewujudan laporan daripada SPRM kepada Tengku Maimun pernah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen bulan lalu.

“Namun Tengku Maimun masih belum mengambil apa-apa tindakan atau mengulas tentang laporan ini sejak 20 Februari 2023, iaitu lebih sebulan dahulu,” jelasnya.

Menurut beliau, ia adalah tidak adil kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana perkara-perkara tersebut sepatutnya dipertimbangkan dan dimasukkan sebagai bukti bagi semakan kes beliau yang akan diputuskan pada 31 Mac ini.

“Ketua Hakim Negara, SPRM atau Menteri Undang-undang patut sahkan atau nafikan pembongkaran ini secara umum. Tidak boleh membisu lagi,” katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu, Azalina memaklumkan, laporan SPRM berhubung siasatan ke atas isu kebocoran penyiasatan berkaitan kes Mohd. Nazlan telah selesai dijalankan dan telah diserahkan kepada Tengku Maimun.

Beliau menambah, laporan tersebut adalah berkaitan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 namun tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu dinyatakan oleh SPRM dalam surat kepadanya.

Mohd. Nazlan merupakan hakim yang mengadili kes SRC melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan pada 28 Julai 2020.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua bahagian undang-undang Maybank Investment mulai 2005 hingga 2015 dan dikatakan terlibat dalam proses kelulusan pinjaman melibatkan 1Malaysia Development Berhad.

Peraturan 8(1)(a) Kod Etika Hakim 2009 menyatakan, seorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak menimbulkan keraguan munasabah tentang keupayaan bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. APA LAGI YANG DITUNGGU OLEH PEGUAM NEGARA DAN KETUA HAKIM NEGARA KENAPA MASIH TIADA TINDAKAN DIAMBIL TERHADAP HAKIM NAZLAN SISTEM KEADILAN APA YANG ADA DI MALAYSIA SEKARANG YANG MENIDAKKAN HAK SESEORANG MENDAPATKAN KEADILAN SEDANGKAN BUKTI YANG NYATA TELAH ADA . KAMI SUNGGUH KECEWA

  2. SEKIRANYA YG TIDAK ARIF KETUA HAKIM NEGARA MASIH LAGI MEMBISU TENTANG PERKARA INI.. HARAP SELEPAS INI KITA SEBAGAI RAKYAT MALAYSIA KELUAR RAMAI2 BUAT LAPURAN POLIS/SPRM KPD YANG TIDAK ARIF KETUA HAKIM NEGARA INI UTK DI BAWA KE MUKA PENGADILAN DAN HUKUMAN YG SEWAJARNYA DIKENAKAN TERHADAP BELIAU KERANA MENYALAH GUNA KUASA@KHIANAT DAN SEHARUSNYA DI PECAT TERUS DARI JAWATAN TERSEBUT. KERANA DIA MEMANG TIDAK LAYAK SAMA SEKALI MENJADI KETUA HAKIM. KAMI AMAT KECEWA DGN TINGKAH LAKU BELIAU.

  3. pendapat saya hakim nazlam hanyalah penasihat undang2 kepada maybank ketika itu, penasihat undang2 tiada kuasa utk memberi kelulusan terhadap sesuatu pinjaman kerana yg membuat penilaian adalah penasihat kewangan yg lebih arif dlm menentukan sesuatu pinjaman itu berdaya maju atau tidak… penasihat undang2 hanya menasihatkan dari sudut perundangan yg berkaitan tatakelola sebuah pinjaman itu berlandaskan peraturan bank negara dan kewangan antarabangsa.

    Sama macam kita buat loan rumah dgn bank, lawyer yg siapkan semua dokumen.. tapi bukan lawyer tu yg ada kuasa meluluskan loan itu…

    Secara kesimpulan, hakim nazlan hanya bertanggungjawab dlm memastikan cara loan itu mengikuti dokumentasi yg betul tetapi tidak berkuasa utk meluluskan loan tersebut.

  4. BILA SEMUA TELAH TERBONGKAR, BARU SEDAR SIAPA YANG SALAH SIAPA YG BENAR,JADI PERLU AMBIL TINDAKAN KEPADA YG MELAKUKAN KESALAHAN . YANG BENAR PERLU DI PERTIMBANGKAN DAN DILEPASKAN DARI HUKUMAN YG TIDAK SEPATUTNYA.UNDANG UNDANG APA YG MALAYSIA GUNA WAKTU ITU SAMPAI HAKIM PUN BOLEH DIRASUAH UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN YG X SEWAJARNYA. FIKIRKANLAH….

  5. Harap diwujudkan tribunal kehakiman supaya Hakim-hakim yang tidak jujur diambil tindakan kerana rakyat tidak mahu mereka-mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa atas ketidakadilan dan kejujuran.
    Bagaimana mereka yang dijatuhkan hukuman termasuk hukuman mati..
    Siapa yang patut bertanggungjawap atas tindakan Hakim yang tidak jujur?

Comments are closed.