Najib haji
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) akan terpaksa menaikkan harga pakej haji sebab tidak lagi mampu menanggung kos yang semakin naik.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, Najib juga berulang kali beri amaran sejak Januari 2019 bahawa kadar hibah TH akan turun serendah 3.0 peratus pada tahun-tahun berikutnya.

Menurut beliau, bekas Ahli Parlimen Pekan itu membuat ramalan tersebut selepas kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) menukar strategi pelaburan TH selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tiap-tiap tahun, Najib desak kerajaan untuk kaji semula dasar TH tapi kerajaan tak mahu dengar.

“Akhirnya terbukti benar bahawa hibah TH bagi setiap tahun sejak Najib buat ramalan tersebut pada awal tahun 2019 adalah sekitar kadar 3.0 peratus dan tidak lagi tinggi sehingga 6.0 peratus hingga 8.0 peratus seperti pada zaman Najib.

“Akhirnya terbukti juga bahawa TH akan terpaksa naikkan harga pakej haji sebab tidak lagi mampu menanggung kos yang semakin naik,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada 14 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memberitahu, kos menunaikan haji bagi tahun ini akan meningkat kepada RM30,850 setiap jemaah.

Isnin lalu, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, golongan T20 perlu membayar kos penuh manakala jemaah M40 pula sebanyak RM15,980, setelah ditolak bantuan kewangan haji 48 peratus.

Golongan B40 yang menikmati bantuan kewangan haji 61 peratus kekal membayar sebanyak RM10,980 seperti sebelum ini.

Sian See menambah, Najib juga pernah mencadangkan penyelesaian yang boleh diambil kerajaan bagi membolehkan TH menjana keuntungan yang lebih tinggi.

Beliau memberitahu, antara cadangan bekas Menteri Kewangan itu adalah pelaburan hartanah oleh TH melalui pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, kata Sian See, sebelum PRU14, ramai pihak yang membantah pembelian tersebut sehingga menyebabkan TH menjual semula tanah tersebut kepada kerajaan PH.

Menurut beliau, situasi berbeza dialami oleh WCT Holdings Berhad (WCT) yang membeli lot tanah bersebelahan dengan yang pernah dimiliki TH di TRX.

“Syarikat WCT cool saja. Terus majukan projek yang bernilai RM1.4 bilion mereka untuk untung besar manakala TH sudah terlepas peluang.

“Untung ratusan juta yang boleh digunakan untuk kekalkan subsidi haji ataupun naikkan hibah terlepas,” jelasnya. – MalaysiaGazette