Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ringgit terus meningkat berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan Khamis selepas kebimbangan yang kian ketara terhadap prospek ekonomi global mengalihkan perhatian pelabur ke arah mata wang sedang pesat membangun termasuk ringgit, kata seorang peniaga.

Pada 9.20 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4370/4405 daripada dolar AS berbanding kadar penutup semalam pada paras 4.4530/4580.

Menurut peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz, kebanyakan pakar percaya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) tidak akan menaikkan kadar faedahnya pada hari Rabu, memandangkan keadaan semasa sektor perbankan yang goyah.

“Bagaimanapun, Rizab Persekutuan memutus menaikkan kadar faedah daripada 4.75 kepada 5.0 peratus. Ini adalah kenaikan kedua iaitu hanya 0.25 peratus yang diguna pakai oleh Rizab Persekutuan, sekali gus menandakan penurunan sistematik dalam kenaikan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menokok nilai berbanding pound Britain kepada 5.4531/4574 daripada 5.4696/4758 pada penutup semalam, tetapi susut berbanding euro menjadi 4.8292/8330 daripada 4.8026/8080 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.3899/3928 daripada 3.3592/3633 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding baht Thailand kepada 12.9931/13.0105 daripada 12.9297/9506 pada Rabu dan turun berbanding dolar Singapura menjadi 3.3406/3435 daripada 3.3363/3406.

Bagaimanapun, nilai ringgit  meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 289.10/289.50 daripada 290.10/290.60 semalam dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.13/8.14 daripada 8.16/8.18 sebelum ini. – BERNAMA