Datuk Selamat Paigo

KUALA LUMPUR – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia terus komited bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) agar sumber wakaf dapat digembleng secara optimum.

Kerjasama itu berjaya menatijahkan lebih 70 peratus lot tanah wakaf di setiap negeri dimanfaatkan bermula dari Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) hingga ke RMK-12 dan disusuli menerusi Belanjawan Tahunan Negara.

Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo berkata, berdasarkan rekod, sejumlah RM262 juta dana wakaf tunai telah dikutip MAIN dan Yayasan Waqaf Malaysia dalam tempoh tiga tahun dari 2020 hingga 2022.

Dalam pada itu, kata beliau, angka kutipan wakaf tunai itu juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 52 peratus pada 2022 berbanding 2020.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2023 pago tadi berkata, aktiviti wakaf perlu terus disemarakkan bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat sama ada individu, persatuan, syarikat dan GLC menjadikan amalan berwakaf ini suatu tradisi yang perlu dihidupkan.

“Kerajaan akan mengkaji dan meneliti pembangunan di atas tanah wakaf sedia ada yang belum dibangunkan agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat dengan mengambil kira kejayaan pembangunan sedia ada di atas tanah wakaf.

“Syarikat kerajaan terutamanya, perlu mencari hala tuju baharu untuk meningkatkan usaha membangunkan wakaf,” katanya menerusi rancangan Assalamualaikum TV Alhijrah, hari ini.

Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2023 dirasmikan Anwar yang dipancarkan menerusi rakaman video, berikutan Perdana Menteri ketika ini berada di Arab Saudi.

Menurut Selamat, terdapat empat perkara utama yang boleh dan perlu diberi perhatian ke arah memastikan wakaf menyumbang 20 peratus pengembangan sektor Kewangan Sosial Islam.

Antaranya kata beliau, peranan wakaf boleh diperkasakan melalui penglibatan GLC yang menyumbang dana dalam bentuk wakaf bertempoh yang akan kembali semula kepada mereka dalam tempoh tertentu agar satu sumber dana wakaf yang lestari boleh diwujudkan.

Kedua, katanya, kerajaan juga akan berusaha mewujudkan ekosistem yang kondusif kepada pemain industri wakaf yang dijangka mampu menyemarakkan lagi pembangunan di atas tanah wakaf.

“Ketiga, ialah peranan JAWHAR dan Yayasan Waqaf Malaysia selaku entiti wakaf di peringkat Persekutuan akan diperkasakan agar berupaya menjadi sebuah institusi yang boleh mengurus dana wakaf secara profesional.

“Keempat, Agensi Berkaitan Wakaf hendaklah lebih proaktif dan agresif dalam mempromosi serta memberi kesedaran wakaf kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Abdul Halim Mat Yusop berkata, wakaf perlu dilihat dalam kerangka lebih besar, merangkumi semua aspek sara hidup iaitu makanan, kesihatan, pendidikan, utiliti, pengangkutan dan perumahan.

Dalam majlis itu juga, ada simbolik penyerahan buku wakaf dalam tulisan Braille, inisiatif kerjasama kerajaan menerusi JAWHAR dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan (PERTIS).

Buku itu menyediakan bahan dan maklumat berkaitan wakaf bagi dijadikan bacaan dalam kalangan OKU penglihatan.

Usaha itu turut disokong oleh Yayasan Waqaf Malaysia yang menyumbang Dana Wakaf Tunai sebanyak RM35,000 bagi tujuan pembelian mesin pencetak Braille (Embosser) pada tahun 2022. – MalaysiaGazette