Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Sekumpulan 20 anggota kongsi gelap kini giat diburu polis  selepas didapati melakukan rusuhan dalam satu upacara pengebumian di sebuah premis pengurusan mayat bukan Islam di sini kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan, sehari sebelum kejadian, mangsa yang juga mempunyai beberapa rekod jenayah telah dibunuh secara kejam menggunakan senjata api.

“Pada 20 Mac lalu, ada seorang lelaki Cina berusia 30-an dibunuh di Taman Melodies di sini. Mangsa telah ditembak namun siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan tersebut.

“Manakala esoknya semasa upacara pengebumian mangsa, pihak polis dimaklumkan terdapat sekumpulan 20 lelaki telah datang dan membuat kekacauan di tempat sembahyang mendiang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Kamarul Zaman menjelaskan,  polis turut menyiasat dakwaan mangsa juga terlibat dalam satu kes pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak, di Taman Pelangi di sini enam tahun lalu.

Menurut sumber, mangsa telah ditembak di sebuah kedai serbaneka 24 jam pada pukul 1 pagi ekoran dendam antara pihaknya dengan kumpulan kongsi gelap.

Sementara itu, dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, kelihatan keranda dipercayai berisi mayat mendiang dan juga papan bunga kalung telah dijatuhkan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kongsi gelap tahi kucing habis lah polis akan buat sekatan jalan raya besar-besaran lah jawabnya lepas ni… orang johor tak senang hati sebab nya berpunca daripada kumpulan kongsi gelap…

Comments are closed.