ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri bercakap kepada media mengenai bantahan isu keselamatan jalan raya selepas kejadian kemalangan maut melibatkan seorang murid dengan lori kontena, Rabu lalu di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 MAC 2023.

KLANG – Masalah jalan raya sempit dan kepadatan kenderaan berat di sekitar Kampung Telok Gong, dekat sini telah lama dibangkitkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Malah, kata beliau, perkara itu juga telah dibangkitkan di Dewan Rakyat, tetapi belum mendapat perhatian daripada pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Oleh itu, katanya, beliau memahami perasaan penduduk kampung itu yang mengadakan perhimpunan pagi ini untuk menyuarakan suara hati mereka yang sekian lama terbelenggu dengan masalah kenderaan berat yang melalui jalan dalam kawasan berkenaan.

“Saya kira kemalangan yang berlaku dua hari lalu itu, telah mencetuskan sesuatu di kalangan masyarakat Kampun Telok Gong, yang sebenarnya sudah lama berjuang membangkitkan isu ini.

“Saya sendiri pun dah bangkitkan dalam DUN Selangor, malah di Parlimen pun, tetapi belum mendapat perhatian pihak berwajib seperti JKR dan MPK.

“Saya akui kawasan ini telah digazetkan sebagai kawasan zon industri dan sebahagiannya sebagai kawasan perniagaan dan sebahagian lagi kawasan kampung tradisi,” katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan aman penduduk Kampung Telok Gong, di sini, hari ini.

Menurut Azmizam, memang ada yang telah diusahakan dan dijalankan oleh JKR terutamanya jalan utama Telok Gong iaitu projek menaiktaraf yang secara dasarnya telah diluluskan pada 2018 di DUN Selangor.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerja persiapan untuk rekabentuk dan kerja selanjutnya sebelum tender dikeluarkan itu telah tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun.

“Namun, pada 19 Januari lalu, JKR telah memanggil pejabat ADUN Pelabuhan Klang, berbincang mengenai kerja naik taraf bermula dari Glenmarie Cove hingga ke Jalan Tenggiri sepanjang 6.2 kilometer.

“Kalau lihat kepada rekabentuk ini, memang sepatutnya telah lama dilaksanakan da projek ini dianggarkan bernilai RM150 juta. Dokumen pun telah ada dengan saya untuk kerja menaik taraf.

“Cuma apa yang saya minta dengan JKR, sementara projek naik taraf ini dilaksanakan, jalan yang tiada tanda garisan atau lampu masih bergelap, tidak boleh diambil mudah,” katanya.

Azmizam juga akan membawa suara hati penduduk itu ke peringkat lebih tinggi iaitu Yang Dipertua MPK dan Pengarah JKR Selangor.

“Kalau perlu dilibatkan Ketua Pengarah JKR peringkat persekutuan pun, saya akan libatkan, asalkan isu keselamatan penduduk di sini diambil perhatian sewajarnya dengan serius,” katanya. – MalaysiaGazette