JAKARTA – Pegawai sukan ASEAN telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan utama serantau yang terlibat dengan bola sepak, mengenai proses penyerahan bidaan bersama pada 2026 untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
Ahli kumpulan kerja teknikal turut membincangkan mengenai keperluan umum, garis masa dan peranan setiap negara anggota untuk kejohanan yang akan diadakan selama sebulan itu.
Mesyuarat untuk bidaan itu diadakan secara maya pada Rabu dan dipengerusikan oleh pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Sukan, Dr Niwat Limsuknirun.
Menurut Sekretariat ASEAN, bidaan untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu kali pertama dicadangkan oleh menteri-menteri luar rantau itu pada sesi permukiman 2011 di Lombok, Indonesia.
Semasa sidang kemuncak serantau 2019 di Bangkok, Thailand, pemimpin ASEAN kemudiannya mengalu-alukan hasrat bersama rantau itu untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.
Para pemimpin menyokong usaha persatuan bola sepak negara-negara anggota dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk merealisasikan matlamat ini.
Sebagai tindak balas kepada kenyataan pemimpin itu, AFF turut menyatakan sokongannya terhadap inisiatif itu pada Jun 2019. – Bernama