Anwar Ibrahim. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2023.

JEDDAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud di dalam negara pada masa  ini sebagai langkah untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos yang berpatutan.

Anwar berkata, semua kementerian telah diarahkan untuk mengkaji kewajaran pelaksanaannya supaya terdapat suatu penilaian adil terhadap isu berkenaan.

“Prinsip pembangunan ekonomi yang telus memerlukan kami untuk membuat beberapa pelarasan dan peralihan daripada yang apa saya fikirkan sebagai kehuru-haraan, lapuk dan untuk menangani kepentingan tertentu dalam konteks monopoli,” kata Perdana Menteri  dalam sidang media di akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Arab Saudi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menguraikan lebih banyak monopoli berikutan keputusan kerajaan tidak melanjutkan konsesi perkhidmatan pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).

Anwar berkata, kerajaan akan terus membantu syarikat-syarikat Bumiputera, bagaimanapun ia mesti dilakukan secara telus untuk membenarkan persaingan yang adil antara syarikat-syarikat.

“Jika kita mengambil berat untuk mempertahankan kepentingan Bumiputera maka laksanakannya dengan jelas, dengan telus dan biarkan Bumiputera yang berkenaan bersaing.

“Kerajaan ini tidak semestinya akan memungkiri komitmen kami untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera tetapi ia harus dilaksanakan dengan telus dan membenarkan persaingan adil dalam kalangan syarikat-syarikat Bumiputera,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kabinet membuat keputusan membenarkan semua pihak yang layak untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan selepas konsesi Puspakom berakhir pada 31 Ogos, 2024.

Loke berkata, keputusan itu dibuat pada 17 Mac untuk mempromosikan sebuah industri perkhidmatan yang berdaya saing. – Bernama