Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub hadir ke Program Pelancaran Jualan Rahmah bersama Sabella Holdings hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub melahirkan rasa penghargaan dengan kesemua pemain industri yang tampil membantu kerajaan menjayakan Inisiatif Payung Rahmah selama hampir tiga bulan ini.

Menurut sepanjang tempoh sesi libat urus bersama-sama pemain industri daripada pelbagai sektor, rata-rata mereka tidak pernah meminta mahupun mengenakan apa-apa syarat untuk menyertai inisiatif tersebut yang bertujuan membantu golongan berkemampuan.

“Rata-rata pemain industri ini sudah memasang niat untuk ‘pulangkan’ keuntungan yang mereka kecapi melalui program-program CSR syarikat mereka. Langsung tidak timbul apa-apa isu jika mereka bantu kita, kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jualan Rahmah bersama Sabella Holdings Sdn Bhd di Batu Caves di sini hari ini.

Sebaliknya kata Salahuddin, sejak inisiatif ini diperkenalkan pada awal Januari, ada peserta industri telah memohon KPDN untuk menambah baik beberapa perkara bagi melicinkan lagi operasi perniagaan dan membolehkan mereka menyertai Inisiatif Payung Rahmah untuk jangka panjang.

“Ada yang mohon berkaitan pekerja asing bagi permudahkan perniagaan, ada berkenaan permit, lesen import dan ada yang meminta nasihat berkenaan penempatan pekerja asing, apa yang KPDN boleh bantu dan permudahkan kita bantu mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Salahuddin turut memberitahu, KPDN sedang mempertimbangkan untuk membuat kajian impak Inisiatif Payung Rahmah sekitar Jun nanti iaitu selepas enam bulan selepas pelaksanaan inisiatif ini.

Jelas beliau, KPDN akan membentangkan laporan kajian impak Inisiatif Payung Rahmah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan tentang perkara tersebut dengan meneliti statistik jualan, jumlah transaksi, sama ada kenaikan jualan dan lain-lain.

“Berdasarkan laporan kajian itu nanti, Kementerian Kewangan akan meneliti sama ada ia boleh diteruskan untuk jangka panjang. Bagaimana kerajaan boleh membantu peserta industri serius menjayakan Inisiatif Payung Rahmah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Salahuddin juga memberitahu, laporan awal kepadanya menunjukkan rata-rata pemain industri utama seperti Econsave, Mydin, rangkaian restoran Muslim yang melaporkan ada peningkatan jualan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam jualan mereka. -MalaysiaGazette