Dr. Zaliha Mustafa

SEGAMAT – Enam fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di Johor yang terjejas teruk akibat banjir, akan dibaik pulih dalam tempoh enam bulan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, enam fasiliti itu terdiri daripada Klinik Kesihatan Chaah, dan lima Klinik Desa (KD) di Kampung Tengah, Kampung Jawa, Kampung Jabi, Tenang Station dan Desa Temu Jodoh, kesemuanya di Segamat.

“Jumlah kerosakan kita anggarkan RM1.8 juta dan kos baikpulih fasiliti dianggarkan RM750,000 untuk semua fasiliti yang terlibat. Jumlah (peruntukan untuk) baik pulih ini telah diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat KD Kampung Tengah, di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini hanya KD Kampung Tengah yang dikenal pasti akan dipindahkan ke kawasan baru, kerana klinik itu bukan sahaja terdedah dengan kejadian banjir, malah kedudukannya dilihat agak dekat dengan jalan raya, dan pernah berlaku kemalangan melibatkan lori sekitar kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya telah meninjau suatu kawasan yang akan dipertimbangkan sebagai lokasi baharu klinik desa kampung berkenaan, kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal klinik itu.

Sementara itu merujuk kepada saranan agar KKM mengubah sistem pekerja perubatan berstatus kontrak kepada satu sistem yang bebas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan, Zaliha berkata, ia merupakan pandangan yang baik, dan cadangan itu boleh dipertimbangkan.

“Komen saya, itu pandangan yang baik. Kita boleh pertimbangkan, tetapi seperti biasa, ia bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan cepat kerana ia melibatkan ekosistem perkhidmatan itu sendiri,” kata Ahli Parlimen Sekijang itu.

Jumaat lepas, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar dilaporkan menggesa KKM mengubah sistem pekerja perubatan berstatus kontrak sekiranya berhasrat meningkatkan kualiti di sektor itu.

Menurut Dr Zainal, kerajaan perlu mewujudkan sistem yang bebas agar kebajikan kumpulan berkenaan dapat ditambah baik. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast