Fadhlina (tengah) merasmikan Majlis Penyerahan Projek ‘Smart Classroom’ di Sekolah Kebangsaan Mengkuang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Tiada keputusan muktamad diambil Kementerian Pendidikan berhubung isu menghentikan kerja-kerja pembinaan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Bakap di Nibong Tebal susulan masalah kekurangan dana.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara berkenaan masih dalam rundingan dengan pelbagai pihak selain perlu mengambil kira beberapa aspek penting sebelum keputusan akhir dibuat.

“Minggu lepas saya sudah jumpa dengan guru besar dan wakil sekolah berkenaan untuk berbincang isu ini. Buat masa ini, perbincangan masih diteruskan dan tiada sebarang keputusan muktamad diambil.

Fadhlina.

“Antara aspek yang perlu diambil kira seperti kepentingan, perkembangan dan isu-isu berkait rapat dengan pendidikan di kawasan sekitar sekolah berkenaan.

“Tetapi jangan risau untuk pendidikan anak-anak ini kita sentiasa buka rundingan seluas-luasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan pembinaan bangunan tambahan SJKT Sungai Bakap.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri Majlis Penyerahan Projek ‘Smart Classroom’ di Sekolah Kebangsaan Mengkuang di Bukit Mertajam, di sini.

Mengulas mengenai surat yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri yang tidak menyokong pembinaan bangunan tambahan itu, Fadhlina berkata, surat itu hanya satu pandangan dan proses biasa namun rundingan serta alternatif lain sedang diusahakan untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah terbabit.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy terkilan dengan keputusan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang untuk menghentikan pembinaan bangunan tambahan bagi SJKT Sungai Bakap.

Beliau berkata, projek itu tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan telah memberi peruntukan awal sebanyak RM3.5 juta dan memperuntukkan tanah empat ekar pada 2015 untuk pembinaan bangunan baru sekolah ini.

“Sekiranya, Kerajaan Persekutuan tidak dapat membantu dalam memberi peruntukkan tambahan kepada pihak sekolah kerana kekurangan peruntukan, mereka boleh menyerah tanggungjawab mengumpul dana awam kepada pihak sekolah sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette