KUALA LUMPUR – Penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi golongan berada tidak sesekali mengambil hak dan kedudukan anak-anak golongan B40 yang diberikan keutamaan di dalam mandat Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara), Mohd Fadzli Yusof berkata, ia merupakan satu langkah besar bagi perkembangan model dan modul sistem pendidikan MRSM yang selama ini dinantikan oleh semua pihak termasuk ahli ANSARA Malaysia sendiri yang selama ini mengharapkan anak-anak mereka belajar didalam sistem pendidikan MRSM.
Katanya, ia juga membuktikan bahawa kejayaan sistem pendidikan MRSM seharusnya dimanfaatkan bukan hanya untuk sesetengah golongan sahaja, dan sudah tiba masanya sistem
pendidikan MRSM yang cemerlang dan amat bernilai ini dikongsikan untuk semua.
“Kami ANSARA Malaysia, sebagai alumni yang berpengalaman sebagai pelajar MRSM dan turut sama merasai tranformasi dan perubahan sistem pendidikan MRSM, amat yakin bahawa selama ini sistem pendidikan MRSM telah diuruskan dengan cemerlang oleh pihak MARA dan segala langkah baru yang dicadangkan adalah satu keperluan demi kecemerlangan berterusan MRSM, terutama mendepani era yang semakin mencabar ini.
“ANSARA Malaysia sentiasa menyokong Pihak Pengurusan MARA dan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA baik dari segi pengurusan, pelaksanaan program, kebajikan pelajar dan sebagainya sepertimana yang telah, sedang dan akan terus kami lakukan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Fadzli berkata, ANSARA Malaysia sentiasa bersedia untuk menghulurkan pandangan, idea, malah penglibatan secara langsung didalam apa-apa agenda pendidikan MARA.
Katanya, dengan jumlah bekas pelajar MRSM yang begitu besar, ANSARA Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran dan latarbelakang ahli yang mampu untuk melibatkan diri didalam agenda yang besar dan penting ini.
Sebelum ini, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan mewujudkan MRSM berbayar dizahirkan oleh kehendak alumni institusi pendidikan itu sendiri, yang mahukan model pengajian yang sama diberikan kepada anak-anak mereka.
Katanya, cadangan mewujudkan MRSM berbayar bertujuan bagi menyantuni kehendak kumpulan yang bersedia membayar dan mahukan model pengajian yang sama.
Ketika ini, MRSM sudah melahirkan hampir 200,000 alumni yang berjaya dan kebanyakannya kini berada dalam kelompok M40 dan T20.
Dalam pada itu, Mohd Fadzli berkata, pihaknya amat yakin MARA telah dan akan mengambilkira semua faktor rasional secara terperinci yang bersandarkan statistik, kewangan, teknikal, pengalaman dan unjuran potensi disebalik cadangan
itu kerana ia bukanlah satu idea yang tangkap muat semata-mata atau hanya atas desakan pihak atau golongan tertentu sahaja.
“Di antara rasional yang harus dan telah diperjelaskan adalah
bahawa Akta MARA 1966 membolehkan MARA untuk memulakan perniagaan dengan maksud untuk menyokong mandat pembangunan modal insan dan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar.
“MARA Corp yang difahamkan selaku pihak pengedali boleh mengadakan mekanisme khas bersama Bahagian
Pendidikan Menengah (BPM) MARA untuk berkongsi model, modul, falsafah, budaya serta kurikulum MRSM terutama “Sistem Homeroom”, “Badan BWP” dan “Badan LDP”, untuk digunapakai di MRSM berbayar.
“MARA Corp akan mengenakan yuran bersesuaian dan munasabah yang mana hasil kutipan yuran tersebut akan digunakan untuk menampung kos operasi termasuklah emolumen, perkhidmatan, perbekalan dan kos-kos lain yang berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Faham tak untuk ‘masyarakat luar bandar’???? tu anak2 Ansara tu ‘masyarakat luar bandar kah? Kalau luar bandar tak de masalah…kalau duduk kat Putrajaya, tak payahlah nak ambil hak org miskin…
kalau dah berbayar mana nak ambil hak org miskin dah abang….
hak keluarga B40 masih dijamin jika anak² tu layak. Berbanding sekarang anak golongan T20 M40 dan B40 boleh mohon MRSM yg sama. Keupayaan kanak² B40 berkurangan disebabkan anak² golongan T20 dan M40 lebih mengatasi golongan B40 dr segi akademik dan pendedahan pelajaran yg berkualiti di peringkat sekolah rendah lagi.
Jika diwujudkan MRSM berbayar ni maka golongan T20 dan B40 akan bersaing sesama mereka dan tidak menggangu hak B40 lagi