PUTRAJAYA – Orang ramai kini boleh berkunjung ke 38 lokasi terpilih di seluruh negara yang menawarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) yang menjadi ‘produk’ terbaharu Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif BRR itu adalah hasil libat urus KPDN bersama peniaga untuk menawarkan harga Menu Rahmah sekaligus mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Pertama sekali mesti ada libat urus, keduanya adalah persetujuan dari pemilik gerai untuk mereka menawarkan Menu Rahmah, maknanya mereka bersedia dengan inisiatif ini.
“Kalau kita lihat di bazar ini, lebih kurang 148 gerai dan 48 peratus gerai menawarkan Menu Rahmah dengan harga minima RM5 dan ke bawah.
“Ada juga peniaga menjual set ‘Lamb Shank’ yang biasanya dijual pada harga lebih RM50 tetapi di sini ia bermula dengan harga RM30 hingga RM40 bergantung kepada menu yang dipilih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat kebangsaan dan sesi walkabout peniaga di Presint 14, di sini, hari ini.
Tambah Salahuddin, bazar Ramadan yang dikategorikan sebagai BRR, harus menepati penyertaan peniaga sekurang-kurangnya 30 peratus yang menyediakan Menu Rahmah.
Selain itu, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa RAHMAH serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti.
Antara BRR lain yang terlibat adalah Bazar Ramadan Food Truck Rahmah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Bazar Ramadan Bayan Baru, Pulau Pinang, Bazar Ramadan People Walk Ipoh, Perak dan Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang, Terengganu.
Mengulas mengenai kekurangan bekalan telur ayam di Terengganu, Salahuddin berkata, maklumat daripada Jabatan Veterinar memaklumkan bekalan masih stabil.
“Kalau ada kes, ia hanya kes terpencil ataupun di tempat tertentu. Kalau ada berlaku minta cepat maklumkan untuk kita bertindak, setakat ini di peringkat nasional, bekalan stabil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Salahuddin turut memaklumkan sejak 1 Ramadan lalu sehingga hari ini, sebanyak 99 aduan diterima oleh KPDN.
Ia berkaitan dengan salah laku pencatutan harga makanan serta minuman dan daripada jumlah itu, sebanyak 20 kes telah dibuka sejak Op Pantau 2023 dilaksanakan. – MalaysiaGazette