KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor memberi amaran untuk menggantung selama tiga hari Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin sekiranya beliau cuba membuat retorik di dalam Dewan Rakyat.
Ramli memberi amaran itu jika Chong bangun dari tempat duduknya lebih dari tiga kali untuk mencelah terhadap perkara yang dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung tindakan Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) yang membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Yang berhormat dengar saya cakap…kalau perkara yang sama tak perlulah melainkan Yang Berhormat Kampar nak bangkitkan perkara yang baharu. Ada perkara baru, atau benda sama?” soalnya.
Soalan itu kemudiannya dijawab oleh Chong dengan menyatakan ia adalah perkara sama.
Mendengar jawapan itu, Ramli kemudiannya membuat keputusan tidak membenarkan Chong untuk bangun mencelah jika ia perkara sama.
“Yang berhormat Kampar, amaran pertama, you bangun sekali lagi amaran kedua, masuk yang ketiga, saya tak keberatan, tiga hari saya gantung, ingat ya.
“…Kalau perkara lain selain dari Jelutong cakap, saya boleh terima…lain dari yang Beluran cakap saya boleh terima tapi kalau retorik juga, sama minta maaf,” tegasnya.
Terdahulu, Rayer meminta Dewan Rakyat mengenakan tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal yang didakwa telah
menghina Perdana Menteri susulan laporan polis yang dibuat mendakwa ketua kerajaan itu telah mengelirukan dewan berhubung isu pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
Rayer mendakwa, Wan Ahmad Fayhsal telah menuduh Perdana Menteri memberi maklumat palsu di Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut.
Katanya, semasa menjawab mengenai usul yang dibangkitkan tidak ada seorang pun ahli dewan di pihak pembangkang yang meminta penjelasan mengenai isu yang diterangkan oleh Perdana Menteri itu.
Justeru, Rayer mempertikai sikap Wan Ahmad Fayhsal itu yang sepatutnya merujuk perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan bukannya dengan membuat laporan polis.
Perkara yang dibawa oleh Rayer mendapat perhatian Datuk Seri Ronald Kiandee (PN- Beluran) yang kemudian meminta supaya perkara itu diusul kepada speaker secara bertulis. – MalaysiaGazette