Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat pada sesi petang kecoh seketika gara-gara Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mendakwa RSN Rayer (PH-Jelutong) menyebut UMNO parti celaka yang dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam.

Katanya, kenyataan itu dikeluarkan oleh Rayer ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Delima sebelum ini.

“Bagaimana satu kenyataan ADUN Seri Delima yang lalu yang hari ini telah menjadi Ahli Parlimen Jelutong, satu ketika beliau telah menyatakan satu penghinaan.

“Beliau menyebut UMNO parti celaka dan ketika itu ia dianggap sebagai penghinan kepada orang Melayu dan orang Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Mendengar apa yang dibangkitkan, Rayer yang berada di dalam dewan bingkas dari tempat duduknya dan menggesa Ahmad Tarmizi menarik balik kenyataannya itu dengan mengatakan
kes itu telah diputuskan di mahkamah dan beliau didapati tidak bersalah.

Beliau turut menyatakan bukti mengenai perkara itu dengan mengatakan peguam belanya iaitu Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo turut hadir ketika keputusan mahkamah diputuskan.

Speakar, Datuk Johari Abdul yang mengendalikan mesyuarat turut meminta Ahmad Tarmizi berbuat apa yang diminta oleh Rayer setelah menilai keputusan mahkamah itu.

Ahmad Tarmizi mengambil masa seketika untuk melaksanakan hasrat Rayer walaupun turut didesak beberapa kali oleh Johari dengan hanya berkata, ok.

Namun, situasi kekecohan berlarutan apabila Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membangkitkan pula perkataan yang dikeluarkan oleh Rayer apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin (PN-Pagoh) pernah berkata Pas sebagai parti ajaran sesat.

Ayat itu dikeluarkan oleh Rayer ketika gilirannya berbahas sewaktu peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri.

Ahmad Fadhli bertegas menggesa Rayer menarik balik ayat tersebut kerana dia turut menggunakan perkataan ‘masih’ bagi menuduh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Tadi saya terdengar Jelutong menyebut berbanding Pagoh yang masih berpendirian bahawa Pas parti ajaran sesat.

“Macam mana Jelutong boleh tahu Pagoh masih berpendirian Pas parti ajaran sesat. Ini satu tuduhan 36 (12) mana-mana ahli mengeluarkan kenyataan di dewan,” ujarnya.

Ketegangan tersebut berlarutan namun, akhirnya reda selepas Rayer bersetuju untuk membetulkan semula ayat yang diungkapkannya.

“Saya akan rephrase (betulkan ayat),” katanya. – MalaysiaGazette