Gambar hiasan

Sebelum ini, saya ada memberikan pandangan dan pendapat peribadi berkaitan perihal isu-isu keselamatan negara, khususnya setelah saya melihat sendiri bagaimana nelayan tempatan di kawasan saya yang tersesat masuk ke sempadan perairan negara jiran telah ditangkap oleh pihak berkuasa di sana.

Arakian, nukilan tentang isu ini saya zahirkan melalui siaran di Astro Awani lanjutan daripada peristiwa itu serta kebimbangan mengenangkan dalam tempoh kurang 5 tahun ini sahaja, terdapat lebih 50 insiden pencerobohan di perairan Natuna (juga dikenali sebagai Laut China Selatan, saya fikir, Malaysia perlu mengikut Indonesia dengan enggan mengikut nama lama kawasan perairan ini).

Baru-baru ini juga, Ahli Parlimen Yang Berhormat Ahmad Marzuk ada membangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat mengenai kes-kes pencerobohan yang semakin kerap berlaku di kawasan lautan negara.

Ini menimbulkan persoalan, bagaimana dengan penguatkuasaan undang-undang perairan kita? Nelayan kita yang secara tidak sengaja tersesat terus sahaja ditahan tetapi pada masa yang sama, kita tidak berdaya untuk berbuat apa-apa bilamana sempadan perairan kita acapkali diceroboh oleh kuasa besar asing.

Saya merasakan, perlu ada lebih banyak usaha daripada pihak-pihak berkaitan untuk mententeramkan kegusaran rakyat tentang soal keselamatan perairan yang menjadi sumber rezeki begitu ramai rakyat kita. Kerajaan negeri dan pusat mestilah sentiasa menekankan aspek keselamatan dan kemaslahatan rakyat jelata sebagai agenda utama dalam setiap perbicangan.

Saya faham akan keperluan untuk mengimbangkan geopolitik serantau dalam memastikan Malaysia tidak dilihat cenderung kepada mana-mana pihak dalam keadaan dunia sedang menghadapi perang dingin terbaharu di antara kuasa-kuasa besar.

Maka, saya merasakan, apabila Wisma Putra bingkas mengeluarkan kenyataan mengenai perjanjian AUKUS di antara Australia-Britain-Amerika, (yang pada hemat saya adalah suatu usaha bagi mengimbangi kuasa tentera laut terbesar dunia milik negara penceroboh perairan terbanyak negara dan dalam masa yang sama adalah antara rakan dagang utama), perlulah ada semangat yang sama apabila baru-baru ini Wall Street Journal pada 10 Mac 2023 telah melaporkan kewujudan pulau buatan yang menjadi pengkalan tentera haram berhampiran Kepulauan Spratly.

Malaysia hendaklah tegas meminta semua pihak menghormati konvensyen antarabangsa dan tidak mendesak Malaysia untuk memihak kepada mana-mana pakatan antara kuasa-kuasa besar.

Justeru, apabila kurangnya keprihatinan segelintir wakil-wakil rakyat yang terlalu kerap membazirkan ruang di sidang parlimen dengan cemuhan dan jeritan, tanpa membahaskan isu keselamatan rakyat Malaysia, saya menjadi sangat khuatir. Ancaman keselamatan terhadap Malaysia dan isi penduduknya ini bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main.

Apatah lagi, pencerobohan yang berlaku pada zaman serba canggih ini tidak terhad berlaku di persempadanan negara sahaja, tetapi juga boleh berlaku walaupun di dalam bilik tidur.

Dunia tanpa sempadan yang ditunjangi kepesatan pembangunan teknologi maklumat juga bererti meningkatnya risiko pencerobohan data sama ada yang melibatkan hal-hal sulit negara mahupun gambar-gambar alat sulit peribadi.

Ini juga adalah suatu lagi aspek keselamatan negara yang kian hari menjadi semakin penting untuk diberikan perhatian.

Ditambah lagi, dengan pelbagai fenomena negatif berkait isu keselamatan digital yang semakin kerap berlaku, hatta di kampung-kampung, seperti pencurian identiti, pemalsuan data, penipuan dalam talian serta penggodaman maklumat yang berlaku kepada rakyat jelata di seluruh negara khususnya di kawasan saya sendiri di Sungai Panjang.

Saya ingin menggesa agar kerajaan negeri Selangor tidak berdolak-dalik dalam hal ini, sebaliknya segera mengambil langkah drastik dengan tegas memastikan mana-mana syarikat telekomunikasi, hatta gergasi dalam industri sekalipun, yang ingin melabur dalam infrastruktur rangkaian di Selangor, mestilah tidak terlibat dalam apa-apa kontroversi berkaitan penggodaman dan kecurian harta intelek.

Keputusan Malaysia untuk tidak memilih rakan teknologi yang kini berhadapan dengan pelbagai tuduhan penggodaman, kecurian harta intelek dan perisikan dalam pelaksanaan 5G di seluruh negara dilihat merupakan satu langkah pertama kerajaan persekutuan dalam mengutamakan keselamatan digital.

Sudah tiba masanya, kerajaan Selangor mengikut jejak langkah dalam mengukuhkan asas yang telah dibina ini dengan turut serta menjadikan integriti dan keselamatan digital dalam ekosistem yang akan memacu kemajuan negeri sebagai keutamaan paling tinggi.

Akhir kata, saya merasakan adalah wajar untuk pilihanraya-pilihanraya negeri yang akan datang ini dijadikan medan oleh sebarang parti yang ingin bertanding, untuk berkempen bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan seluruh pelusuk rakyat negeri dan isinya, baik di Lautan Natuna, mahupun di alam maya.

Datuk Mohd Imran Tamrin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Penulis Datuk Imran Tamrin adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Selangor.