KUALA LUMPUR – Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying memohon maaf berikutan Lim Hui Ying tidak dapat memberikan jawapan kepada soalan yang dikemukakan ahli Parlimen.
Lim Swee Kuan berkata, pihaknya tidak menduga menerima soalan ke-16 bagi sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada pukul 11.35 pagi tadi.
“Kami memohon maaf atas apa yang berlaku. Kebiasaannya proses penyediaan jawapan lisan berdasarkan bilangan maksimum soalan yang boleh dijawab oleh semua kementerian iaitu antara 11 hingga 13 soalan untuk dijawab dalam tempoh 90 minit.
“Pegawai akan memberi taklimat secara terperinci kepada Menteri atau Timbalan Menteri yang akan menjawab bagi soalan yang muncul pada 15 soalan pertama.
“Pihak kami telah menyediakan jawapan terperinci bagi tiga soalan iaitu soalan keempat, kelapan dan ke-11. Timbalan Menteri juga telah menjawab kesemua tiga soalan seperti kelaziman di Dewan yang mulia pagi tadi,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Swee Kuan berjanji pihaknya akan mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mengelak perkara seperti itu berlaku lagi.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor hari ini menegur Hui Ying kerana gagal bersedia seperti sepatutnya.
Insiden itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi apabila Hui Ying tidak dapat memberikan jawaban kepada soalan yang dikemukakan ahli parlimen.
Hui Ying sepatutnya menjawab pertanyaan Ahmad Marzuk Shaary (PN – Pengkalan Chepa) yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan peruntukan untuk program rancangan makanan tambahan (RMT) dan mekanisme pemantauan untuk memastikan pelajar mendapat makanan yang berkhasiat.
Hui Yin (PH-Tanjung) sepatutnya menjawab pertanyaan tersebut kerana menteri, Fadhlina Sidek, tidak hadir pada ketika itu.
Bagaimanapun Hui Yin terdiam untuk beberapa ketika sebelum Ramli bertanya sama ada timbalan menteri terbabit bersedia dengan jawaban sepatutnya atau tidak.
“Yang berhormat menteri, saya rasa soalan ni ditanya sejak awal… Ada jawapan atau tidak?” tanya Ramli.
“Minta maaf tuan yang dipertua, sebab jawapan saya tak sediakan. Bolehkah saya berikan secara bertulis (kemudian)?” jawab Hui Yin.- MalaysiaGazette