Rais (tengah) dan Ban Hong (kiri) melihat alat peranti Terminal Bayaran Tanpa Tunai digunakan seorang peniaga di Glam Ramadan Bazar Klebang, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Peniaga bazar Ramadan di Melaka bukan sahaja digalakkan menggunakan transaksi kod QR, malah mereka juga dialu-alukan menggunakan alat peranti Terminal Bayaran Tanpa Tunai lain.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, selain lebih selamat, kaedah itu juga dapat membantu kerajaan mendapatkan data tepat jualan yang diperolehi peniaga di sesebuah bazar Ramadan.

“Selaku Exco Teknologi, saya juga mahu melihat penggunaan peranti sebegini diperluaskan dalam kalangan peniaga bazar kerana ini akan lebih memudahkan mereka merekodkan transaksi jualan.

“Pada masa sama, langkah ini juga akan memudahkan kita mengumpul data-data seperti nilai jualan peniaga khususnya di bazar-bazar Ramadan berskala besar seperti di Klebang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi Glam Ramadan Bazar Klebang, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Penganjur Glam Bazar Klebang, Rashid Omar.

Mengulas lanjut, Rais yang juga ADUN Paya Rumput berkata, semua data-data itu penting untuk kerajaan melakukan perancangan berkaitan penganjuran bazar pada masa hadapan.

“Saya yakin dan percaya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlukan angka-angka ini yang mana ia mampu menjadi indikator dalam sebarang perancangan untuk peniaga bazar di masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette.