Cheng San (kanan).

BUKIT MERTAJAM – Hasrat seorang jurutera untuk menjana pendapatan tambahan terpaksa berputih mata apabila kerugian RM126,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan sambilan.

Lelaki berusia 41 tahun yang bekerja di sebuah kilang antarabangsa di Kulim, Kedah itu dikatakan mula terjerat dengan sindiket berkenaan selepas tertarik dengan iklan di Facebook yang memerlukan pekerja memasukkan data secara sambilan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, minat dengan tawaran kerja itu membuatkan mangsa menekan pautan sebelum berhubung dengan seorang individu dikenali sebagai Aminah menerusi aplikasi WhatsApp.

Jelas beliau, suspek memberitahu mangsa perlu melaksanakan tugasan mudah iaitu dengan menekan tanda suka (like) pada video dan melanggan (subscribe) akaun sosial YouTube yang diberikan.

“Setiap tugasan akan dibayar RM10 dan mangsa telah menyelesaikan lima tugasan untuk mendapat RM50.

“Dia kemudiannya ditawarkan lebih banyak pulangan dengan tambahan komisen 20 peratus, namun perlu membuat sejumlah pembayaran kepada sindiket,” katanya, di sini, hari ini.

Menurut Cheng San, akibat terpedaya, mangsa telah membuat 10 transaksi pindahan wang kepada tujuh akaun berbeza yang berjumlah RM126,000 dalam tempoh lima hari antara 18 hingga 22 Mac lalu.

“Namun setelah wang itu dimasukkan, dia tidak menerima sebarang komisen seperti yang dijanjikan.

“Mangsa akhirnya sedari dia ditipu sebelum tampil membuat laporan polis pada Rabu lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika menerima panggilan atau berurusan dengan pihak tidak dikenali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast