Gambar hiasan

KUALA LUMPUR   “Love scam” yang dimonopoli oleh penipu warga Afrika kini dipercayai juga didalangi penipu yang berpangkalan di negara-negara Asia Tenggara.

Sinchew Daily melaporkan, sindiket menggunakan penipuan pekerjaan untuk menjerat mangsa ke Myanmar, Laos dan Kemboja sebelum melatih mereka menjadi “Romeo” dan “Juliet” bagi menipu wanita dan lelaki yang kesunyian.

Dengan memperalatkan cinta, penipu seterusnya akan memujuk mangsa untuk melabur dalam pelbagai skim yang tidak wujud termasuk mata wang kripto.

Seluruh proses penipuan itu digelar sebagai “penyembelihan babi” kerana setiap mangsa akan digelar sebagai babi oleh sindiket.

Proses penipuan dilaporkan dijalankan mengikut “skrip” sindiket penipuan yang bermula dengan mengenal pasti “babi” sebelum menjerat mereka ke dalam kandang dan menyediakan “dedak babi” untuk memujuk mereka mengeluarkan duit.

Proses itu berakhir dengan “penyembelihan babi” iaitu apabila berjaya menipu mangsa untuk membayar.

Seorang mangsa yang diwawancara akhbar itu mendedahkan dirinya telah kehilangan RM1.27 juta selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa diri sebagai peniaga dari China.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa dipujuk oleh kekasih dalam talian untuk melabur dalam skim mata wang kripto.

Mangsa yang pada asalnya hanya melabur sedikit juga diberikan pulangan pada awalnya sebelum diperdaya melabur lebih banyak termasuk dipujuk menggunakan paparan akaun yang palsu.

Dalam pada itu, wartawan Sinchew Daily yang menyamar telah berhubungan dengan seorang penipu yang mendakwa diri sebagai jurutera.

Selepas berkenalan dan bercinta dengan wartawan yang menyamar, “jurutera” itu seterusnya mendakwa perlu membeli bahan mentah dari Sabah dan laman web palsu juga dihasilkan bagi menyakinkan mangsa.

Sementara itu, polis telah menerima laporan 1,460 kes penipuan cinta atau “love scam” membabitkan kerugian RM57.34 juta pada 2021 dan jumlah kes pada 2022 pula adalah 3,769 dengan kerugian RM56.33 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kebanyakan kes adalah didalangi oleh warga Afrika yang berada di Malaysia.

Beliau berkata, penipu berkenaan selalunya memasuki Malaysia menggunakan identiti sebagai pelancong atau pelajar, tetapi mereka berada di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

Katanya, penjenayah biasanya memulakan penipuan dengan membahagikan tugas antara dua kumpulan.

“Kumpulan pertama akan membuka akaun media sosial dan mengenal pasti mangsa sasaran di Internet. Kumpulan kedua pula akan menyamar sebagai anggota Kastam atau pekerja kurier.

“Oleh itu, orang ramai jangan menerima pelawaan berkawan dalam media sosial secara sewenang-wenangnya sehingga menjadi mangsa penipuan kurier cinta,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, penjenayah selalunya juga akan memperdaya mangsa dengan mendakwa diri sebagai juruterbang, peniaga, jurutera atau kontraktor dari luar negara.

Seterusnya, penipu akan mendakwa telah menghantar bungkusan hadiah kepada mangsa untuk menjerat mangsa membayar bagi menuntut hadiah itu.