KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disarankan supaya menempatkan pegawainya di Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memberi nasihat yang tepat mengenai mekanisme pencegahan rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah itu juga bertujuan membantu MARA menambah baik polisi dan prosedur sedia ada.
“MARA adalah sebuah agensi kerajaan yang mengendalikan dana yang amat besar pastinya terdedah kepada bahaya rasuah dan salah guna kuasa yang memerlukan pemantauan rapi oleh SPRM.
“Masalah rasuah dan ketirisan yang pernah dilaporkan sebelum ini adalah bukti bahawa Mara terdedah kepada bahaya jenayah ini dan perlu sentiasa dipantau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada 16 Mac lalu, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan agensi itu mesti mencapai matlamat sifar ketirisan dan pembaziran.
Menurut beliau, segala aspek pengoperasian institusi sama ada dari segi perolehan, perbelanjaan, pelaksanaan agenda pembangunan keusahawanan dan pendidikan, mesti bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan, korupsi, ketirisan dan pembaziran.
Jais menambah, selain memantau dan menyiasat aduan awam ke atas agensi tersebut, pegawai SPRM di MARA perlu menjalankan penyiasatan dalaman secara berkala untuk memastikan mereka mematuhi prinsip integriti.
Beliau memberitahu, pegawai terbabit juga perlu memberi latihan dan pendidikan kepada kakitangan Mara tentang akhlak dan etika kerja yang betul serta membekalkan mereka dengan pengetahuan mengenai undang-undang dan peraturan berkaitan rasuah.
“Tindakan yang sistematik dan berterusan seperti ini amat perlu dalam memastikan semua agensi kerajaan kekal utuh berintegriti dan dipercayai oleh setiap lapisan rakyat secara telus dan adil,” jelasnya. – MalaysiaGazette