Fadillah Hong Kong
Fadillah Yusof (kanan) menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, bangunan Parlimen, hari ini. (Gambar: Ihsan Pejabat TPM)

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam pertemuan itu, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menyentuh mengenai kepentingan memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan, agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan dan ekonomi digital.

Fadillah berkata, Paul Chan turut menjemput beliau untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hab ekonomi terbaharu iaitu The Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao.

“GBA ini merupakan sebuah kawasan yang mempunyai potensi besar pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

“Malaysia berharap kunjungan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Perjumpaan kira-kira 30 minit tersebut merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh tiga tahun.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Abdul Hadi Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Kaur Sron.

Fadillah menambah, seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke rantau Asia, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi detinasi eksport kelima terbesar.

“Nilai dagangan antara Malaysia dengan Hong Kong juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus tahun lalu, iaitu daripada AS$21.68 billion pada 2021 kepada AS$25.69 billion pada 2022,” jelasnya. – MalaysiaGazette