Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih lagi dalam lagi dalam peringkat kajian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian berkenaan mengambil masa, rumit serta mempunyai implikasi pertambahan perbelanjaan.

“Cadangan ini telah pun dalam kajian. Ada cadangan untuk memisahkan. Perkara ini agak rumit sedikit saya ingat mengambil masa.

“Pada prinsipnya ramai setuju supaya dipisahkan tetapi pada peringkat pelaksanaannya kita teliti kerana dari segi kesan implikasi kewangan hampir RM300 juta tambahan.

“Tapi saya setuju ia bukanlah pertimbangan utama kerana yang penting adalah memastikan satu proses pendakwaan yang lebih telus dan bebas,” katanya.

Beliau menjawab soalah Chiew Choon Man (Miri – PH) ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Choon Man ingin mengetahui sama ada kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakan pemisahan fungsi antara Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Ini bagi mengukuhkan kebebasan kedua-dua entiti dan mengelak tuduhan terdapat pendakwaan terpilih kepada mana-mana ahli politik dan mengelakkan institusi kerajaan daripada disalahgunakan.

Sementara itu, Anwar mengesahkan terhadap siasatan berhubung korupsi melibatkan ahli politik kerajaan.

“Saya tidak tahu secara khusus tetapi saya dimaklumkan ada siasatan melibatkan pembangkang dan blok kerajaan. Saya tidak tahu jawatannya kerana bila ada soalan ini saya hanya bertanya kepada pihak penguatkuasaan mereka sahkan memang ada siasatan.

“Kemudian sama ada pendakwaan itu dibuat atau tidak itu terserah kepada badan penguatkuasaan iaitu Peguam Negara,” kata Anwar.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Rantau Panjang (PN) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff. – MalaysiaGazette